Pegawai penguat kuasa PBT minta rasuah RM12,000 ditahan SPRM
PUTRAJAYA - Seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan pada Jumaat disyaki terlibat dalam kes rasuah bernilai RM12,000.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek dipercayai bertindak meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan kepada seorang pemilik restoran yang meletakkan meja dan kerusi tambahan di kawasan parkir kereta di restoran tersebut.
Sumber berkata, suspek lelaki berumur 40-an itu dipercayai ditahan petang Jumaat di sekitar Selangor.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak November 2023 hingga kini dan meminta serta menerima bayaran tunai secara bulanan kira-kira RM2,000.
"Siasatan juga mendapati suspek dipercayai sering menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada setiap bulan kepada pemilik restoran tersebut," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!