Saya amat bangga dapat terajui Barcelona - Xavi

Xavi
Xavi
A
A
A

"BUKAN mudah untuk meninggalkan kelab dalam hidup anda, tetapi saya amat berbangga selepas dua setengah tahun menerajui bilik persalinan yang sudah seperti keluarga kedua."

Itu reaksi Xavi Hernandez selepas dipecat gergasi La Liga, Barcelona empat minggu selepas kelab tersebut mengesahkan bekas pemain tengah The Catalan berkenaan akan menghormati tahun terakhir kontraknya dengan memimpin musim depan.

“Mulai Isnin, saya akan menjadi peminat lain di tempat penonton kerana sebelum menjadi pemain atau jurulatih, saya adalah peminat Barcelona dan saya hanya mahukan yang terbaik untuk kelab dalam hidup saya, yang akan sentiasa ada di tangan saya.

“Musim ini perkara tidak berjalan seperti yang kita harapkan, tetapi kami telah melepaskannya dan membantu mengembangkan generasi baharu pemain bola sepak muda dari La Masia yang memberi inspirasi kepada semua peminat Barcelona.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk kelab yang saya sayangi,” kata Xavi dalam surat terbuka yang disiarkan di media sosial.

Perlawanan terakhir Xavi sebagai pengurus akan menjadi lawatan Barca ke Sevilla bagi aksi terakhir La Liga musim ini pada Isnin.

Sebelum itu, Barcelona dalam satu kenyataan berkata: “Hari ini, Presiden FC Barcelona, Joan Laporta telah memaklumkan kepada Xavi Hernandez bahawa dia tidak akan meneruskan tugas sebagai jurulatih pasukan utama pada musim 2024/25.

“Barcelona ingin ucapkan terima kasih kepada Xavi atas tugasan sebagai jurulatih, untuk kerjayanya yang tidak dapat ditandingi sebagai pemain dan sebagai kapten pasukan, serta mendoakan kejayaan masa depannya."

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menamatkan perbalahan berbulan-bulan antara Barca dan Xavi yang membuat 767 penampilan untuk kelab itu selama 17 musim serta membantu mereka memenangi 25 trofi utama.

Barcelona akan menduduki tempat kedua La Liga, sekurang-kurangnya sembilan mata di belakang juara Real Madrid.

Xavi sebelum ini telah mengumumkan pada Januari akan meletak jawatan pada penghujung musim ini, namun selepas perbincangan di rumah Laporta pada April, Xavi mengubah keputusannya dan bersetuju untuk kekal dengan beberapa syarat tidak ditentukan yang ditetapkan kelab.

Selepas menjuarai La Liga tahun lalu ketika musim penuh pertama Xavi, dia tidak dapat bertahan dalam musim yang menyaksika saingan sengit Real Madrid.

Barca dibelasah Real Madrid dalam aksi Piala Super Sepanyol pada Januari, disingkir Athletic Bilbao pada suku akhir Piala Raja Sepanyol dan ditunjuk jalan keluar Paris Saint Germain (PSG) daripada Liga Juara-Juara pada peringkat lapan terakhir.

Sementara itu, Real Madrid akan menentang Borussia Dortmund pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Wembley minggu depan.

Xavi yang berusia 44 tahun tiba di Barcelona dengan kontrak tiga tahun selepas peninggalan pengendali Belanda, Ronald Koeman pada penghujung 2021.

Xavi adalah produk daripada akademi remaja La Masia di Barcelona yang disertainya pada usia 11 tahun.

Sebagai pemain, dia memenangi 31 trofi untuk Barcelona dan Sepanyol, termasuk Piala Dunia 2010, dua Kejohanan Eropah, lapan La Liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara.

Dia membimbing Barca dalam 141 perlawanan, dengan 89 kemenangan, 23 seri dan 29 kekalahan, membawa kelab itu musim lalu merangkul kejuaraan liga ke-27 dan pertama dalam tempoh empat tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!