Dakwa UiTM amal sistem apartheid, polis akan panggil Andrew Sia
KUALA LUMPUR - Sebanyak 38 laporan polis diterima berhubung penulisan kolumnis, Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem 'apartheid'.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan memanggil kolumnis terbabit dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.
"Semakan ke atas portal itu juga sedang dibuat pihak polis.
"Setakat ini sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu ini," katanya pada Sabtu.
Tambah Razarudin, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Andrew Sia berhubung penulisannya itu.
Sebelum ini, Veteran UMNO menyokong desakan daripada Pemuda UMNO supaya Andrew Sia tampil membuat permohonan maaf.
Desakan itu permohonan maaf itu sebagai satu tindakan yang terbaik, selain artikel tersebut ditarik semula.
Veteran UMNO menyifatkan artikel Andrew Sia itu lebih berunsur hasutan dan dikategorikan menyentuh (isu) 3R (agama, kaum dan raja-raja).
Malah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) turut membuat laporan polis terhadap Andrew Sia kerana menggelar UiTM sebagai 'akademi aparteid'.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!