Hab kurier diserbu, dua majikan bersama 122 pekerja asing ditahan
BATU PAHAT – Dua majikan warga tempatan ditahan bersama 122 pekerja warga asing di sebuah premis hab kurier dalam Ops Mahir dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor pada Khamis.
Pemangku Pengarah Imigresen Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, serbuan pada jam 11.55 malam itu dilakukan susulan maklumat awam mengenai sebuah gudang hub utama yang menggaji warga asing tanpa pas atau permit bagi tujuan pengumpulan dan pengagihan barang kiriman.
Menurutnya, dalam operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 148 individu, seramai 122 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan, manakala dua warga tempatan ditahan merupakan seorang pengurus lelaki berusia 29 tahun dan pegawai sumber manusia wanita berusia 29 tahun.
“Kesemua yang ditahan melibatkan 49 lelaki warga Pakistan, 41 lelaki Myanmar, 25 lelaki India, tiga lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang dari China, Nepal dan Sudan berusia antara 19 hingga 53 tahun,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan didapati telah melakukan kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan, Seksyen 691)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka turut ditahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
Dalam masa sama, kedua-dua warga tempatan yang juga merupakan majikan dan pegawai sumber manusia hab kurier tersebut ditahan bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana mengambil pekerja asing secara tidak sah.
Menurutnya, JIM Johor terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di negeri ini bagi membanteras isu kebanjiran pekerja asing tanpa izin (PATI).
Tindakan segera tanpa kompromi akan dikenakan terhadap warga asing serta majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah.
JIM Johor turut meminta PATI yang berkelayakan dan mahu pulang ke negara asal secara sukarela, untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang akan tamat pada 31 Disember depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!