Tak sangka berbelanja hanya RM300, bawa pulang Mitsubishi Xpander

Eng Koon (tengah) bergambar bersama hadiah utama Mitsubishi Xpander disaksikan Ken Chin (kiri) dan Mohd Yusri (dua dari kanan) selepas majlis pengumuman di Aman Central.
Eng Koon (tengah) bergambar bersama hadiah utama Mitsubishi Xpander disaksikan Ken Chin (kiri) dan Mohd Yusri (dua dari kanan) selepas majlis pengumuman di Aman Central.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang juruteknik, Lim Eng Koon, 45, tidak menyangka dengan berbelanja sebanyak RM300 membolehkan dirinya membawa pulang sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM120,000.

Eng Koon antara tiga pemenang utama yang tersenarai daripada 80 pelanggan Aman Central untuk cabutan bertuah peringkat akhir menerusi kempen ‘Appreci8th Celebration’ bermula 26 Oktober 2023 hingga 25 Februari lalu.

Juruteknik sebuah kilang di Kulim Hi Tech Park (KHTP) itu berhasrat menghadiahkan kenderaan tersebut untuk kegunaan isterinya yang bekerja sebagai kakitangan sebuah bank di Alor Setar.

“Saya membeli-belah sebanyak RM300 di Aman Central ketika Tahun Baharu Cina dan melayakkan saya sertai peraduan ini.

"Saya tak pernah bermimpi untuk menang hadiah utama dan agak terkejut apabila dihubungi pengurusan Aman Central memaklumkan saya disenarai pendek untuk 80 cabutan bertuah,” katanya ketika ditemui pada majlis Cabutan Akhir Sambutan Ulang Tahun ke-8 kempen Appreci8th, disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Eng Koon (tengah) menerima replika kunci kereta daripada Mohd Yusri (dua dari kiri) sambil disaksikan Ken Chin (kiri) selepas diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Mitsubishi Xpander di Aman Central.
Eng Koon (tengah) menerima replika kunci kereta daripada Mohd Yusri (dua dari kiri) sambil disaksikan Ken Chin (kiri) selepas diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Mitsubishi Xpander di Aman Central.

Menurut Eng Koon, kemenangan tersebut merupakan kejutan buat dirinya kerana pemilihan pemenang hadiah utama dilakukan secara cabutan sampul dalam majlis tersebut.

“Ketika mendaftar, kami diberikan sampul surat mengandungi kad berwarna mengikut kategori hadiah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya sendiri pun tak tahu terpilih sebagai tiga pelanggan akhir untuk hadiah utama,” katanya.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, pihaknya mengambil inisiatif melalui kempen ulang tahun untuk menghargai dan menawarkan ganjaran kepada pelanggan kerana mengekalkan Aman Central sebagai destinasi utama pusat membeli-belah di wilayah utara.

“Disebabkan pelanggan setia, pertumbuhan ekonomi kami telah pulih sepenuhnya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Kami akan terus membawakan acara yang tiada tandingan pada tahun depan, sempena sedekad (10 tahun) Aman Central,” katanya.

Menurutnya, kempen penghargaan tersebut akan diteruskan pada Oktober depan untuk tahun kesembilan dengan pelbagai hadiah menarik.

“Menerusi kempen tersebut, pembeli layak menghantar satu penyertaan dengan berbelanja minimum RM300 dan ke atas, maksimum dua resit gabungan dari mana-mana cawangan di Aman Central.

“Sebelum menentukan pemenang utama, 80 nombor disenarai pendek menerusi mekanisme cabutan sampul surat mengandungi kad berwarna sebelum tiga pelanggan akhir merebut hadiah utama melalui permainan kerusi muzik.

“Dua finalis terakhir kemudian mencari kunci kereta dalam beg dipenuhi bebola styrofoam sebelum diumumkan sebagai pemenang,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!