Gol awal Perak FC punca pemain KDA FC terburu-buru - Nafuzi
JURULATIH Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menyifatkan gol awal yang diperoleh Perak FC menjadi punca mereka tewas 0-2 pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Menurutnya, Sang Kenari bekerja keras mencipta peluang dan menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun nasib tidak menyebelahi mereka pada perlawanan tersebut.
"Gol pertama yang kami lepaskan mengubah perlawanan dan menyebabkan kami menjadi terburu-buru untuk mencari gol penyamaan.
"Namun, saya gembira dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pemain dari awal hingga akhir perlawanan.
"Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, saya bangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Jelas Nafuzi, pada perlawanan tersebut persefahaman dan kombinasi antara pemain dilihat semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Walaubagaimanapun, katanya semua pemain KDA F perlu terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan yang ada.
"Saya harap pemain dapat meneruskan rentak dan semangat juang yang mereka tunjukkan. Saya percaya kita akan bermula dengan keputusan yang baik dalam Piala FA akan datang," ujar beliau lagi.
Pada perlawanan tersebut, Lee Tae-Min muncul wira Perak FC apabila menyumbang kedua-dua gol pada minit ke-18 dan 76 selepas mereka tewas dua perlawanan berturut-turut pada aksi permbukaan liga super musim ini.
Biarpun perlawanan didominasi oleh Sang Kenari di laman sendiri, namun pelawat bijak memanfaatkan peluang tersebut kepada bentuk jaringan berbanding tuan rumah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
bMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!