Tingkat bawah tawar urut badan, tingkat atas aktiviti pelacuran
KUALA LUMPUR - Sebuah premis yang menawarkan khidmat urutan badan dan pelacuran dengan mengenakan bayaran serendah RM80 di Jalan Pasar Baru di sini diserbu pada Khamis.
Serbuan yang dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama JIM Perak itu menahan seramai 51 warga asing berusia 24 hingga 54 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama tiga minggu.
Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan 41 wanita dan 10 lelaki.
"Semakan mendapati wanita terbabit terdiri daripada 37 warga Vietnam, tiga Indonesia serta Myanmar (1), manakala lelaki membabitkan lima Bangladesh, Vietnam (2), India (1), Pakistan (1) dan Indonesia (1).
"Pasukan operasi telah merampas 19 naskhah pasport Vietnam, dua naskhah pasport Bangladesh selain empat botol minyak urut dan kondom," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, modus operandi kegiatan itu adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada warga asing dan tempatan.
Katanya, perkhidmatan urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran dijalankan di tingkat satu.
"Pelanggan akan memilih wanita warga asing terbabit untuk dilanggan dan bayaran sebanyak RM80 hingga RM150 bagi satu jam akan dilakukan di dalam bilik," katanya.
Tambah Ruslin, semasa serbuan, segelintir wanita terbabit cuba melarikan diri mengikut pintu belakang dan bersembunyi, namun berjaya digagalkan oleh anggota serbuan.
"Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang anggota melakukan penggeledahan," ujarnya.
Tegasnya, lima lelaki tempatan telah diberikan notis hadir ke pejabat JIM untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!