15 pasukan teruskan Liga A1 Semi-Pro

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Yusoff
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Yusoff
A
A
A

CABARAN saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 diteruskan dengan penyertaan sebanyak 15 pasukan selepas Kelantan FC menarik diri.

Malah menurut Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, lima pasukan baharu dan 10 pasukan sedia ada bakal mengharungi 210 perlawanan sepanjang kejuaraan yang menyingkap tirai 1 Jun hingga Februari 2025.

Menurutnya, semua pasukan telah diberikan tempoh lanjutan pendaftaran pemain sehingga Jumaat lalu.

“Bagaimanapun Kelantan FC membuat keputusan untuk menarik diri memandangkan pasukan terbabit masih lagi dikenakan sekatan perpindahan pemain FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) menyebabkan mereka hanya boleh mendaftar pemain sedia ada.

“Walaupun Kelantan FC telah berusaha sebaik mungkin, namun mereka tidak berjaya mendaftarkan minimum 20 pemain sebagaimana yang kita tetapkan kepada semua pasukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, jelas Mohd Yusoff, kejohanan yang kini memasuki musim kedua penganjuran dengan penaja utama iaitu MBSB Bank memperlihatkan keyakinan dan sokongan pemain-pemain industri bola sepak tempatan terhadap saingan Kejuaraan MBSB Bank 2024/25.

“Secara rasmi 15 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam.

“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FC, Bunga Raya Damansara FC, KL Rovers, UiTM United dan PT Athletic FC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Edisi Kejuaraan MBSB Bank musim lalu, gelaran kejuaraan hanya diketahui pada aksi terakhir saingan liga antara Imigresen FC, KL Rovers dan Harini Selangor FT di mana skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris dinobatkan juara selepas menewaskan Melaka FC di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Tiga mata tersebut memastikan Imigresen FC menamatkan 24 perlawanan untuk mengutip 55 mata hasil 17 kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan manakala KL Rovers di kedudukan kedua dengan hanya dibezakan satu mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!