Guna 'bendera' tanda bubu naga
SHAH ALAM - Kegiatan haram menangkap hasil laut menggunakan bubu naga yang ditanda dengan 'bendera' di perairan Kuala Sungai Sekinchan dan Tanjung Karang, dikesan pada Jumaat.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi Op Taring Gelora oleh PPM Pelabuhan Klang di dua lokasi terbabit bertindak merampas 42 set bubu naga dianggarkan bernilai RM4,200.
Menurutnya, tindakan juga hasil maklumat daripada persatuan nelayan tempatan dan media sosial mengenai aktiviti penangkapan ikan secara haram.
"Rampasan di perairan Kuala Sungai Sekinchan dibuat di beberapa lokasi sekitar jarak 1.8 hingga 2.2 batu nautika membabitkan 20 set bubu naga.
"Di perairan Tanjung Karang turut melibatkan lima lokasi di jarak 1.6 hingga 2.4 batu nautika dari Sungai Tengkorak dengan rampasan 22 set bubu naga," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota operasi mendapati terdapat tanda seperti bendera yang digunakan untuk menandakan pukat jenis bubu naga.
Katanya, tindakan telah diambil mengikut Akta Perikanan 1985 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.
"Taktik meletakkan tanda di setiap bubu naga antara kaedah yang sering dikesan PPM.
"Operasi akan terus dijalankan dengan kerjasama semua pihak dan masyarakat disaran untuk salurkan maklumat sebarang perbuatan jenayah di laut khususnya untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!