Pelantikan Pesuruhjaya SPR perlu telus, patuh prinsip demokrasi

Azmi Sharom
Azmi Sharom
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom menggesa pelantikan pengerusi dan ahli suruhanjaya itu dilaksanakan secara telus dan mematuhi prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata, satu penambahbaikan perlu dilakukan dalam proses pelantikan anggota SPR yang ketika ini dibuat secara 'rahsia'.

"Penting untuk langkah ke hadapan, reformasi pilihan raya dilakukan dengan pematuhan yang berpegang kepada prinsip demokrasi dan dilaksanakan secara telus.

"SPR sendiri sepatutnya tertakluk kepada matlamat itu (menerusi) pelantikan pesuruhjaya, termasuk lantikan saya sendiri, tidak lagi diselubungi kerahsiaan dan amalan yang tidak jelas.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menjelaskan proses ini dan lakukannya secara lebih terbuka" katanya ketika berucap dalam Kongres Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2024 pada Sabtu.

Dalam pada itu Azmi yang kini menjalankan tugas Pengerusi SPR berpandangan, perubahan dalam proses pelantikan jawatan tertinggi bukan sesuatu perkara luar biasa di negara ini.

Malah beliau menjelaskan, kewujudan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merupakan contoh paling jelas perjalanan proses yang dahulunya dijalankan secara tertutup, kini dibuat lebih terbuka.

Menurutnya, perubahan berkenaan memerlukan tekad politik dan kesungguhan kepimpinan bagi membangunkan strategi baharu serta inovatif berlandaskan kedaulatan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai sistem undian dan kempen pilihan raya dalam talian, Azmi berkata, ia boleh dilaksanakan sesuai dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi.

Namun beliau menegaskan, kemajuan teknologi tidak sepatutnya menjadi halangan dalam melaksanakan prinsip demokrasi.

"Bolehkah perubahan berlaku? Sudah tentu boleh. Saya percaya sistem pengundian (pilihan raya) yang dilaksanakan kini unik malah banyak langkah penambahbaikan boleh dibuat bagi memastikan setiap undi dikira dengan betul," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!