Stesen minyak disyaki subahat seleweng diesel subsidi

KPDN mengesan modus operandi menggunakan sebuah lori kanvas yang diubah suai tangki asal dengan membuat pembelian secara berulang di stesen minyak sekitar Ipoh. Foto: KPDN Perak
KPDN mengesan modus operandi menggunakan sebuah lori kanvas yang diubah suai tangki asal dengan membuat pembelian secara berulang di stesen minyak sekitar Ipoh. Foto: KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Sebuah stesen minyak di Tambun dekat sini dikesan bersubahat dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi bagi pasaran gelap.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan itu dibongkar hasil risikan dan maklumat awam menerusi Op Tiris 3.0 yang dijalankan pada Jumaat.

Menurutnya, dalam operasi itu didapati pemilik stesen minyak berkenaan mengaku membuat 13 transaksi pembelian diesel kepada seorang pemandu lori yang ditahan sebanyak 3,000 liter dalam masa satu jam.

"Siasatan lanjut telah dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Pemilik stesen boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat menjual secara berulang yang mana melanggar arahan ditetapkan.

"Tindakan syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel juga boleh dikenakan jika didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, terdahulu KPDN membuat serbuan ke atas sebuah stor di Gopeng yang membawa kepada penahanan dua individu iaitu pemandu lori dan pemilik stor berusia 25 dan 32 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel.

Pemeriksaan di sebuah stor di Gopeng itu menemui lebih 7,000 liter minyak diesel di dalam tangki skid. Foto: KPDN Perak
Pemeriksaan di sebuah stor di Gopeng itu menemui lebih 7,000 liter minyak diesel di dalam tangki skid. Foto: KPDN Perak

Artikel Berkaitan:

Katanya, penyelewengan dikesan dilakukan dengan modus operandi menggunakan sebuah lori kanvas yang diubah suai tangki asal dengan membuat pembelian secara berulang di stesen minyak sekitar Ipoh.

Ujar beliau, sindiket itu kemudiannya menjual diesel yang diseleweng kepada pasaran gelap membabitkan beberapa syarikat sekitar bandar raya ini pada harga lebih tinggi antara RM3 hingga RM4 per liter.

"Hasil pemeriksaan di premis itu menemui lebih 7,000 liter minyak diesel di dalam tangki skid serta beberapa peralatan lain seperti tangki IBC, mesin pam dan wayar hos.

"Kesemua rampasan bernilai hampir RM80,000 ini telah disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!