Pakar Hak Asasi Manusia PBB seru Israel dikenakan sekatan
GENEVA - Francesca Albanese, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Wilayah Palestin yang diduduki, pada Sabtu menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengenakan sekatan terhadap Israel dan menggantung hubungan diplomatik dengannya sehingga ia mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
"Israel meningkatkan serangannya ke atas Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengarahkannya untuk menghentikan operasinya (ketenteraan) di bandar tersebut,” katanya di akaun X miliknya, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Beliau berkata: "Berita yang saya terima daripada orang yang terkepung di Bandar Rafah amat mengerikan. Israel tidak akan menghentikan kegilaan ini sehingga kita menghentikannya.”
Albanese menekankan keperluan untuk mengenakan sekatan terhadap Israel sehingga ia mematuhi keputusan ICJ yang mengarahkan Israel untuk menghentikan serangan tenteranya di Bandar Rafah.
"Negara anggota mesti mengenakan sekatan ke atas Israel, melarang pemberian senjata kepadanya, dan menggantung hubungan politik dan diplomatik dengannya sehingga ia menghentikan serangan.
Perlu diingat bahawa Jabatan Keadilan Antarabangsa telah mengeluarkan perintah pada Jumaat yang menuntut Israel menghentikan operasi tenteranya di Rafah, memastikan pembukaan sempadan Rafah untuk memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, dan menyerahkan laporan kepada mahkamah dalam masa sebulan,” katanya. - Bernama-WAFA
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!