Bersih cadang teruskan demonstrasi jalanan jika kerajaan tak laksana reformasi
KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi amaran akan meneruskan demonstrasi jalanan sekiranya kerajaan tidak melaksanakan agenda reformasi seperti yang dijanjikan.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Aziz berkata, tindakan yang dirancang tahun ini sebagai peringatan kepada Kerajaan Perpaduan mengenai tuntutan gabungan itu.
"Dengan momentum yang ada pada hari ini, tidak mustahil demonstrasi jalanan akan dimulakan semula bagi memberi tekanan kepada kerajaan mempercepatkan reformasi yang dijanjikan.
"Namun kita tidak menetapkan tempoh masa kepada mereka melaksanakan perubahan itu," katanya ketika ditemui selepas Kongres Bersih 2024 pada Sabtu.
Dalam pada itu, Bersih turut meluluskan 19 daripada 20 usul yang dibahaskan pada kongres kali ini.
Usul yang ditolak adalah berkaitan penyelarasan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Pengkalan Data Utama (PADU).
Muhammad Faisal Aziz menjelaskan, usul tersebut ditolak kerana ia tiada kaitan dengan agenda reformasi yang dibawa dalam kongres berkenaan.
"Kongres hari ini mendapat sambutan baik terutama daripada golongan belia dan mahasiswa seluruh negara.
"Selaras dengan agenda reformasi, kongres ini menjadi permulaan baik untuk Bersih menyelusuri kampus-kampus agar golongan mahasiswa boleh bersuara dan lebih peka situasi semasa," ujarnya.
Sementara itu, Bersih turut berikrar menerusi deklarasi antaranya untuk semarakkan semangat kebersamaan rakyat, mengangkat martabat dan daulat sebagai kunci utama keberkesanan perjalanan demokrasi.
Selain itu, mereka turut berikrar untuk memandu fasa perubahan demokrasi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 yang menjadi titik penting kepada agenda reformasi serta pendemokrasian negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!