Pempengaruh TikTok dikecam buat konten langkah kubur
SHAH ALAM - Seorang pempengaruh TikTok dikecam hebat apabila tular video dia dan rakannya melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan Islam seakan-akan mempersendakan agama hingga menuai kritikan warga maya.
Video berdurasi 38 saat itu memaparkan dua gadis sedang berjalan-jalan di kawasan perkuburan dan difahamkan dengan sengaja ingin mencuba memanggil roh dari alam ghaib.
Bagaimanapun, pemilik akaun Tiktok dikenali Keknan berkata, kubur yang dipaparkan dalam video tersebut adalah palsu dan rekaan semata-mata bagi tujuan pemasaran.
Tambah gadis terbabit, pihaknya sedang menjalani proses penggambaran filem pendek mengenai dua sahabat yang tidak mempercayai makhluk halus dan cuba untuk memuja roh atau jin.
“Ketika itu, kami baharu sahaja rekod bahagian tersebut untuk filem pendek yang ditayangkan di YouTube, jadi kami buat kubur, di dalamnya tak ada orang. Ia hanya tanah lapang.
"Kami korek dan pacak nisan menampakkan macam kubur, memang untuk tujuan penggambaran,” jelasnya menerusi hantaran di TikTok pada Sabtu.
Video berkenaan dikecam hebat dan tular di platform Facebook sehinggakan jumlah tontonan mencapai 1.8 juta serta lebih 6,000 perkongsian dalam masa 24 jam.
Dalam pada itu, Keknan turut memaklumkan, pihaknya sedar tindakan sedemikian mengundang fitnah dan memohon maaf kerana melampaui batas.
Mengintai di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial tidak berpuas hati dengan perbuatan tidak sensitif itu kerana sanggup mempersendakan agama demi sebuah konten.
Menurut Ismalina Ismail, perbuatan sebegitu dianggap biadap meskipun ia sekadar video santai dan ringan kerana orang Islam diajar tentang adab ketika berada di kubur sejak kecil.
“Gaya pemikiran dan cara budak-budak zaman sekarang berhibur, lain macam dia punya otak.
"Mereka sondol (buat) dahulu baru fikir baik atau buruk, kemudian malu. Adab dan akhlak tolak tepi,” kata Semangat Jebat.
“Kenapa zaman sekarang ramai orang tak beradab, memperbodohkan diri sendiri untuk dikecam, suka dapat dosa, memalukan mak ayah dan keturunan mereka?
"Allahu Akbar, nauzubillahi min zalik, minta dijauhkan,” ujar Jamal Naim pula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!