Kanak-kanak tiga tahun terpaksa telan 11 biji ubat sehari
SEREMBAN - Usianya baru tiga tahun, namun seorang kanak-kanak sudah perlu menelan 11 biji ubat setiap hari selain terpaksa menjalani dialisis susulan penyakit buah pinggang bocor dan darah tinggi dihidapinya.
Derita ditanggung Muhammad Aqil Iskandar Mohd Ashraf itu membuatkannya sukar menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain, apatah lagi rutinnya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan.
Menurut ibunya, Noor Athirah Abdullah, 25, anak ketiga daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit tersebut ketika berusia 18 bulan selepas mata sebelah kanan dan buah zakarnya membengkak.
"Itulah permulaannya bagaimana Aqil disahkan menghidap penyakit ini dan sekarang keadaan kesihatannya tidak menentu.
"Mata kanannya mula kabur manakala sebelah kakinya pula kecil yang membuatkan dia tak kuat untuk berjalan selain emosinya tidak berapa stabil, kemungkinan pengambilan dos ubat yang tinggi," katanya ditemui di rumah neneknya di Taman Marida di sini pada Sabtu.
Menurutnya, tekanan darah anaknya itu pernah mencecah bacaan sehingga 240 menyebabkannya perlu sentiasa dipantau.
Ujarnya, kali pertama Aqil menjalani dialisis pada Mac lalu dan Selasa depan perlu melakukan prosedur endoskopi atau memasukan kamera ke dalam perut bagi mengetahui sama ada bersesuaian untuk melakukan dialisis seterusnya.
"Doktor beritahu Aqil ada potensi untuk sembuh sepenuhnya, tapi ambil masa dan perlu makan tujuh biji ubat steroid, dua jenis ubat darah tinggi serta lain-lain ubat setiap hari," katanya.
Noor Athirah yang berniaga kuih secara kecil-kecilan berkata, setiap bulan dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 untuk kos rawatan Aqil.
"Suami saya pula sekarang bekerja dengan kawannya di Kelantan membuat bahagian tong gas.
"Dia terpaksa buat keputusan kerja di sana kerana sebelum ini sudah tiga kali diberhentikan kerja disebabkan kerap ambil cuti untuk menguruskan Aqil.
"Alhamdulillah gajinya lebih baik, malah majikannya faham situasi kami," katanya.
Mengakui kehidupan dilalui ada kalanya dirasakan sukar, namun ibu muda ini reda, malah tumpuannya adalah untuk rawatan Aqil.
Dalam masa masa, Noor Athirah turut bersyukur kerana memperoleh bantuan bulanan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
Noor Athirah memberitahu, beliau kini menumpang kasih dengan datuk dan nenek sejak ibunya meninggal dunia tiga tahun lalu akibat Covid-19 manakala ayahnya pula meninggal dunia ketika masih berada di Tingkatan Lima.
"Saya juga ambil upah buat kuih dan sesiapa yang berminat boleh hubungi saya di talian 018-9553236," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!