Kebakaran taman hiburan ragut 27 nyawa di Gujarat, India

Anggota bomba India menjalankan operasi menyelamat selepas kebakaran berlaku di zon hiburan yang menyediakan pelbagai aktiviti seperti permainan go-kart, boling dan trampolin. Foto EPA
Anggota bomba India menjalankan operasi menyelamat selepas kebakaran berlaku di zon hiburan yang menyediakan pelbagai aktiviti seperti permainan go-kart, boling dan trampolin. Foto EPA
A
A
A

NEW DELHI - Kebakaran di sebuah taman hiburan di Bandar Rajkot, Gujarat sebuah negeri di barat India pada Sabtu meragut 27 nyawa, termasuk ramai kanak-kanak.

Angka kematian dalam kebakaran di TRP Game Zone mungkin meningkat, lapor media tempatan. Zon hiburan yang musnah terbakar itu menyediakan pelbagai aktiviti seperti permainan go-kart, boling dan trampolin.

Ramai keluarga yang berkunjung ke taman hiburan itu dalam cuti sekolah musim panas. Pemiliknya telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Klip video menunjukkan kepulan asap yang tebal dan kawasan itu ditelan api. Seorang anggota bomba di lokasi kebakaran berkata dia tidak pernah melihat api sebesar itu sepanjang 26 tahun bertugas memadam api.

Ketua Polis bandar itu Raju Bhargava berkata kebakaran itu bermula pada sebelah tengah hari.

"Kami akan menyiasat mengenai kecuaian dan kematian yang berlaku. Siasatan selanjutnya akan dilaksanakan selepas selesai operasi menyelamat,” katanya.

Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel mengumumkan penubuhan sebuah pasukan penyiasat khas untuk menyiasat insiden ini.

"Amat sedih dengan kebakaran di Rajkot. Doa dan ingatan saya mengiringi mereka yang kehilangan insan tersayang dan mereka yang cedera. Pentadbiran tempatan sedang berusaha memberikan segala bantuan yang mampu diberikan kepada mereka yang terkesan,” kata Perdana Menteri Narendra Modi dalam satu hantaran di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran di Rajkot merupakan teragedi terbesar di Gujarat sejak Oktober 2022 yang menyaksikan sebuah jambatan jalan kaki runtuh dan mengorbankan 140 orang di Bandar Morbi.

Pada Januari tahun ini, 14 kanak-kanak sekolah dan dua guru yang sedang berkelah lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Tasik Harani, Bandar Vadodara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!