Pesawat terbang rendah, TUDM laksana latihan bermula esok hingga 2 Jun
KUANTAN - Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan latihan penerbangan taktikal bagi aset-aset udara secara rendah bermula esok hingga 2 Jun ini.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan itu antaranya bertujuan mempamerkan kesiagaan aset dan anggota TUDM sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan pada 1 Jun.
Kenyataan itu menyebut latihan itu juga bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan tugas operasi yang melibatkan pesawat pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
"Sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat TUDM yang terlibat akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di ruang udara Pangkalan Udara Kuantan dan sekitar negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.
TUDM menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sepanjang tempoh latihan dilaksanakan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!