Festival Turath Islami Selangor tarik pengunjung luar negara
SHAH ALAM - Lebih 1,000 pengunjung termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei dijangka hadir ke Festival Turath Islami Selangor 2024 yang bermula pada Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kehadiran pengunjung sepanjang lapan hari program berlangsung kali ini dijangka lebih ramai kerana diadakan pada cuti persekolahan.
"Ini sekali gus dapat (juga) memberikan peluang kepada pelajar madrasah dan pondok-pondok untuk bersama kita.
"Selain itu, pelbagai program diadakan seperti pameran dan sebagainya, tidak macam dahulu (tahun lalu) hanya tumpu kepada pengisian kelas dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
Terdahulu, Amirudin ketika berucap merasmikan festival itu berkata, 32 aktiviti dalam 11 acara disusun kerajaan negeri untuk penganjuran festival kali ini.
“Untuk menegakkan dan membangunkan Islam serta agama ALLAH di muka bumi ini, kita tidak boleh membakarnya dengan sentimen emosi semata-mata.
“Justeru, penganjuran festival ini untuk mengisi ilmu berguna yang diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti kebudayaan serta kesenian untuk membentuk sanubari kita dengan bermakna,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!