Semua kementerian perlu kunjungi Pameran Era Pasca Normal Madani - PM

Anwar ketika sidang media selepas melawat Pameran Era Pasca-Normal Madani di Berjaya Times Square pada Ahad.
Foto Bernama
Anwar ketika sidang media selepas melawat Pameran Era Pasca-Normal Madani di Berjaya Times Square pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad meminta semua kementerian agar merangka jadual khusus untuk membuat kunjungan berkala ke Pameran Era Pasca Normal Madani di Berjaya Times Square di sini.

Beliau berkata, pihak universiti, sekolah, syarikat swasta, ibu bapa dan anak-anak mereka juga digalak melakukan perkara sama kerana pameran itu unik, mencerakinkan secara teliti permasalahan yang dihadapi masyarakat berikutan kesan media sosial dan perkembangan persekitaran seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital.

"Saya percaya usaha diselenggarakan (dilakukan) sangat teliti dengan kos yang tinggi dan dengan kerangka fikiran yang cukup mendalam.

"Ini seolah-olah menggapai dan meneroka penemuan-penemuan pemikiran baharu dan mengasak minda untuk berfikir agar meletakkan nilai kemanusiaan untuk menyelamatkan bangsa dan negara,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri pameran berkenaan pada Ahad.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ini merupakan julung kali pameran serumpama itu diadakan di rantau Asia dan kerana itu ia harus dimanfaatkan untuk mempelajari elemen kritikal yang diketengahkan.

Pada masa sama beliau berharap Kementerian Komunikasi memberi dukungan kepada pameran itu dengan menguar-uarkan kepada masyarakat.

Pameran bermula hari ini hingga 10 November depan itu merupakan hasil kerjasama antara Perdana Menteri dan Centre for Postnormal Policy and Futures Studies (CPPFS) manakala Berjaya Times Square pula merupakan penaja dan penganjur program.

Menampilkan karya enam artis tempatan yang mengetengahkan ciri tonggak utama konsep MADANI iaitu Kemampanan, Ihsan, Hormat, Daya Cipta, Kesejahteraan dan Keyakinan, kemasukan ke program itu adalah percuma.

Artikel Berkaitan:

Antara artis terlibat dalam pameran ialah pengukir Liu Cheng Hua yang menampilkan karya "Golden Shafts”, sejenis peralatan perlombongan emas diperbuat daripada sumber buluh tempatan yang meluas di Raub, Pahang pada 2014.

Turut dipamer ialah hasil seni lukisan bertajuk Human Needs Human, Panorama dan Aku Bukan Pendatang oleh Stephen Menon, seorang pelukis dan pembuat cetakan dengan teknik inovatif dan karya-karya yang merangsang pemikiran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!