Tujuh bayi baru lahir maut dalam kebakaran
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya tujuh bayi baru lahir maut dan lima lagi cedera selepas sebuah pusat penjagaan bayi di kawasan Vivek Vihar, timur Delhi terbakar lewat malam Sabtu, seorang pegawai Perkhidmatan Bomba Delhi (DFS) mengesahkan perkara itu kepada Xinhua pada Ahad.
Salah seorang yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan serius. Bayi yang cedera telah dipindahkan ke hospital lain.
Kebakaran itu dilaporkan bermula selepas sebuah silinder oksigen meletup. Tidak lama kemudian, asap tebal menyelubungi seluruh bangunan menyebabkan kekecohan di dalamnya, kata seorang saksi.
Klip video menunjukkan bayi-bayi baru lahir diselamatkan dan dibawa turun oleh pegawai DFS dengan bantuan tangga.
Dalam satu kebakaran sebuah rumah bertingkat di kawasan Krishna Nagar, timur Delhi, tiga mangsa maut dan tiga lagi cedera.
Kebakaran yang bermula dari kawasan parkir di tingkat bawah, merosakkan lebih 10 kenderaan dua roda sebelum merebak ke tingkat satu bangunan, kata seorang pegawai DFS. - Bernama-Xinhua
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!