Air Selangor giat perluas kempen daftar Jom e-Bil

Orang ramai mendaftar e-Bil di kaunter disediakan di Karnival Jom e-Bil yang berlangsung di The Curve kelmarin. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.
Orang ramai mendaftar e-Bil di kaunter disediakan di Karnival Jom e-Bil yang berlangsung di The Curve kelmarin. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.
A
A
A

PETALING JAYA - Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd menyasarkan 600,000 pengguna mendaftar perkhidmatan e-Bil sebelum 30 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, melalui sistem baharu itu, pelanggan akan menerima bil melalui e-mel.

Menurutnya, langkah itu bertepatan dengan transformasi Air Selangor ke arah perkhidmatan secara digital dan mudah diakses.

Suhaimi
Suhaimi

“Pengguna menikmati perkhidmatan yang cepat dan memudahkan pembayaran bil dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa menerusi perkhidmatan atas talian serta aplikasi telefon pintar.

“Dalam masa sama, Air Selangor juga ingin meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas,” katanya pada Karnival Jom e-Bil Air Selangor di The Curve Mutiara Damansara di sini kelmarin.

Pada program itu, pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama artis, Alif Satar yang dipilih sebagai duta kempen Jom e-Bil Air Selangor.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, Air Selangor turut menganjurkan Peraduan Cari, Daftar dan Menang sebagai inisiatif memperluaskan kempen pendaftaran Jom e-Bil kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Aplikasi e-Bil memudahkan pengguna untuk mengakses perkhidmatan itu menerusi telefon pintar. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.
Aplikasi e-Bil memudahkan pengguna untuk mengakses perkhidmatan itu menerusi telefon pintar. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.

“Pelanggan yang mempunyai rujukan paling tinggi akan berpeluang menangi pakej percutian ke luar negara dan 30 hadiah lain.

“Pengguna e-Bil Air Selangor yang mendaftar bermula 1 Januari 2019 hingga 30 April ini turut berpeluang menang hadiah cabutan bertuah bulanan iaitu rebat air sehingga RM10 selama 10 bulan dan hadiah utama, Perodua Myvi,” katanya.

Pendaftaran e- Bil boleh dibuat melalui https://update.airselangor.com/ oleh pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!