Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia gagal akhiri kemarau 33 tahun
SKUAD takraw negara gagal menamatkan kemarau 33 tahun mengalahkan musuh tradisi Thailand dalam kategori berpasukan apabila tewas 1-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 di Stadium Titiwangsa pada Ahad.
Regu pertama negara menampilkan kelibat Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias bangkit tewas set pertama 9-15 untuk menang dua set berikutnya, 15-11, 15-13 ke atas Poramet Siriswat, Siriswat Sakha dan Varayut Jantarasena untuk Malaysia memimpin perlawanan.
Namun rentak kemenangan itu gagal diteruskan regu kedua negara Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin tewas 8-15, 5-15 kepada Wichan Temkort, Kritsanapong Nontakote dan Pichet Pansan, untuk Thailand mengikat perlawanan 1-1.
Regu ketiga negara Baihakki Aripin, Zuhri Zain dan Aidil Aiman Azwawi yang berusaha memberi saingan kepada Marukin Phanmakon, Pornthep Tingbanbon dan Thanapon Sapyen dalam set penentuan akur pengalaman milik trio Thailand itu apabila tewas 12-15, 12-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!