Tiga penyeludup lari tinggalkan 70,000 liter diesel subsidi
JOHOR BAHRU - Tiga lelaki disyaki penyeludup lari lintang-pukang selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak polis ketika memindahkan diesel bersubsidi di Taman Impian Emas di sini pada Ahad.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kesemua lelaki itu memanjat pagar dan melarikan diri ke dalam kawasan belukar selepas premis tersebut diserbu 14 penguat kuasa KPDN Johor Bahru dan polis pada jam 1.15 petang.
"Operasi ini merupakan serbuan tanpa tuan kerana tiada tangkapan. Semasa serbuan terdapat beberapa lelaki sedang melakukan kerja-kerja pemindahan diesel dari tangki besar ke lori tangki namun berjaya melarikan diri.
"Siasatan mendapati premis ini dijadikan stor untuk pengumpulan diesel bersubsidi sebelum dibawa ke destinasi yang ditetapkan pelanggan," katanya pada sidang akhbar di premis itu pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya merampas 70,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM150,500 dan percaya sindiket tersebut mengaut keuntungan berlipat kali ganda apabila menjual bahan bakar bersubsidi itu dalam pasaran gelap.
Menurutnya, pihak KPDN Johor juga menyita dua lori tangki, dua tangki besar, empat tangki kecil selain peralatan digunakan untuk memindahkan bahan bakar tersebut.
"Nilai rampasan diesel dan semua barangan yang disita itu bernilai RM350,000 dan merupakan antara rampasan terbesar dalam tahun ini.
"Kita percaya modus operandi sindiket ini sama seperti yang dilakukan sindiket lain iaitu menggunakan lori kecil, van dan kereta persendirian dengan membeli diesel di stesen minyak sebelum membawanya ke stor ini.
"Sindiket jadikan stor ini sebagai transit dengan mengisi diesel ke dalam tangki sedia ada sebelum disedut masuk dalam lori tangki dan dibawa kepada pelanggan," ujar beliau.
Menurut beliau, siasatan dan risikan mendapati sindiket tersebut dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan lalu.
"Kita akan siasat siapa pemilik tanah stor ini dan pendaftaran lori berkenaan bagi mengetahui pemiliknya. Kes disiasat bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!