PKR rombak kepimpinan di tujuh negeri
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan selepas enam negeri lain menerima kepimpinan baharu pada Februari lalu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah, dengan dibantu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim selaku timbalan.
MPN Sarawak pula menyaksikan Ketua Cabang Baram, Roland Engan menerajui kepimpinan sebagai pengerusi, manakala Ketua Cabang Santubong, Ahmad Nazib Johari sebagai timbalan pengerusi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh pula dilantik mengetuai MPN Pahang dengan dibantu oleh Ketua Cabang Lipis, Rizal Jamin.
Di Johor, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai pengerusi, manakala Ketua Cabang Bakri, Md Ysahrudin Kusni sebagai timbalannya.
Di Terengganu, PKR melantik Ketua Cabang Kemaman, Ahmad Nazri Mohd Yusof sebagai pengerusi dan anggota Cabang Besut, Datuk Dr Mohasdjone @ Mohd Johari Mohd bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Di Kelantan, Ketua Cabang Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dilantik sebagai pengerusi, manakala Ketua Cabang Pasir Puteh, Dr Shamsudin Ghani sebagai timbalannya.
Sementara itu, di Wilayah Persekutuan menyaksikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dilantik sebagai pengerusi dan beliau dibantu Ketua Cabang Kepong, Jayakumar R Muniandy sebagai timbalan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, penyusunan semula itu dibuat hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada Ahad.
"MPP juga mengumumkan pelantikan Datuk Sangkar Rasam (bekas Pengerusi MPN Sabah), (Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu) Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin (Pengarah Latihan) sebagai ahli MPP," katanya.
Pada Februari lalu, PKR melakukan rombakan terhadap MPN di enam negeri melibatkan pimpinan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kemudian pada Mac, berlaku penolakan kepimpinan bagi MPN Sabah apabila seramai 15 Ketua Cabang PKR di negeri itu sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai pengerusi.
Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah (SD) mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!