Lantikan terajui PKR Sabah adalah taklif bukan tashrif - Mustapha

Mustapha Sakmud. Foto Bernama
Mustapha Sakmud. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau menerima lantikan itu sebagai ‘taklif’ atau tanggungjawab dan bukan ‘tashrif’ atau keistimewaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, perubahan kepimpinan di peringkat negeri menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi di samping menyantuni dan mengangkat kearifan tempatan.

"Kini tiba masanya untuk PKR Sabah fokus memperjuang hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia Madani yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Saya menyeru pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi mengangkat martabat rakyat serta negara yang tercinta," menurutnya dalam kenyataan pada malam Ahad.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan malam ini mengumumkan pelantikan Mustapha, manakala penyandang jawatan itu sebelum ini, Datuk Dr Sangkar Rasam, adalah antara yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti yang baharu.

Sementara itu, Mustapha berkata, PKR Sabah akan terus memberi komitmen untuk memastikan kestabilan politik Negeri Di Bawah Bayu sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Beliau berkata, konvensyen khas PKR Sabah dan program pemantapan jentera akan diadakan dalam masa terdekat secara berkala sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!