Antara hadiah barang kemas dan kedai RM2

Mahal atau tidak hadiah itu paling penting murid dapat menyatakan penghargaan kepada guru mereka. Foto sumber media sosial
Mahal atau tidak hadiah itu paling penting murid dapat menyatakan penghargaan kepada guru mereka. Foto sumber media sosial
A
A
A

TANGGAL 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh istimewa bagi menghargai dan memperingati jasa insan bergelar pendidik di sekolah.

Seakan-akan sudah menjadi trend, sambutan Hari Guru kini diraikan penuh meriah dengan pemberian pelbagai hadiah dan ucapan daripada anak-anak murid.

Walaupun sudah lebih seminggu berlalu, masih banyak perkongsian di media sosial mengenai guru yang menerima hadiah daripada anak-anak murid mereka.

Bercerita soal hadiah, ibu bapa adalah antara yang paling teruja dalam menyediakannya sebagai tanda penghargaan kepada guru yang mendidik anak-anak mereka.

Menjengah di media sosial, boleh dilihat pelbagai kerenah ibu bapa dalam menyediakan hadiah buat guru-guru sehingga ada yang sanggup beratur panjang dan bersesak di pasar raya, kedai cenderahati, malah tidak kurang juga di kedai dua ringgit.

Paling mencuri perhatian apabila ada perkongsian mengenai seorang murid sedang memilih barang kemas sebagai hadiah buat guru-gurunya.

Menerusi satu klip video berdurasi 45 saat yang tular di TikTok, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dilihat membeli barang kemas kepada 10 orang mualim dan mualimahnya. Murid terbabit mengunjungi sebuah kedai emas terkenal dengan ditemani ibu dan bapanya.

Boleh dikatakan pelbagai hadiah diterima guru baik di sekolah bandar, mahupun luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Tidak ketinggalan juga anak-anak Orang Asli yang tampil menghadiahkan guru mereka pucuk paku, pucuk ubi dan bunga kantan.

Menerusi perkongsian video dimuat naik guru tersebut di TikTok, guru wanita itu turut menerima daun kunyit, cili padi serta buah kuini.

Perkongsian itu mendapat pujian orang ramai yang menyifatkan hadiah diberikan anak-anak Orang Asli tersebut sangat istimewa dan lain daripada yang lain.

Walaupun hadiah diberi bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru mendidik anak-anak murid, namun begitu harus diingat, pemberian yang terlalu mahal mungkin boleh menjurus ke arah rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Bagi penulis, jikalau hendak menghargai jasa guru, lebih baik sekiranya memberi bunga, buku, pen atau barangan yang sepadan sahaja.

Penulis pasti para guru juga tidak mengharapkan hadiah daripada anak muridnya, cukuplah sekadar ucapan 'Selamat Hari Guru, cikgu' sebagai tanda dihargai.

Dalam keseronokan murid-murid meraikan guru mereka, timbul pula cerita kurang enak apabila ada individu dipercayai isteri kepada seorang guru mengaku dia terpaksa membuang sesetengah hadiah yang diterima suaminya.

Wanita itu mengakui, antara contoh hadiah yang dibuang ialah bingkai gambar dan barangan dibeli di kedai dua ringgit.

Dia juga akui kepalanya pening melihat hadiah Hari Guru yang diterima suami berlonggok di rumah.

Rentetan perkongsian itu, ramai ibu bapa meluahkan rasa terkilan dengan kenyataan wanita itu kerana merasakan usaha mereka untuk menghargai jaga guru disia-siakan begitu sahaja.

Mahal atau tidak hadiah itu paling penting murid dapat menyatakan penghargaan kepada guru mereka dan yang pasti, ibu bapa memberinya seikhlas hati sebagai tanda ucapan terima kasih kerana mendidik anak mereka.

Penulis berharap kenyataan yang tular tersebut hanya cakap-cakap kosong sahaja, namun jika benar apa yang dikata, tindakan itu sangat tidak wajar.

Harus diingat, remehkan pemberian orang bererti kita tidak mensyukuri nikmat-NYA.

Seperti mana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai wanita-wanita Muslimah! Janganlah seseorang itu meremehkan hadiah daripada jirannya, meskipun hadiah itu sekadar bahagian kaki kambing yang tidak mempunyai daging.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, usah pandang remeh dengan pemberian kecil orang lain. Raikanlah hadiah yang diberikan kepada kita sebaiknya.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!