Tak perlu mengeji, beri ruang pasangan tular perbetulkan kesilapan

Pasangan tular bawa anak memakai alat pernafasan menaiki motosikal turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri.
Pasangan tular bawa anak memakai alat pernafasan menaiki motosikal turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Kisah bayi lelaki berusia 11 bulan yang terpaksa memakai alat pernafasan sepanjang masa mendapat perhatian ramai selepas gambar bersama penjaganya ketika menunggang motosikal ke hospital tular di media sosial.

Anak itu dilihat berada dalam keadaan baik dan dijaga rapi dengan penuh kasih sayang sehingga meruntun jiwa rakyat Malaysia yang bersikap pemurah.

Tanpa menunggu lama, pelbagai bantuan disalurkan kepada bayi tersebut yang diuji dengan penyakit sedemikian sejak usia tiga bulan.

Penjaganya turut menerima sumbangan sebuah Proton Persona oleh syarikat kereta terpakai bagi memudahkan urusan harian terutama ke hospital.

Namun terbongkar pula cerita lain yang mendedahkan penjaga bayi terbabit sebenarnya bukan suami isteri sah tetapi tinggal sebumbung.

Imam masjid di kawasan berkenaan bertemu pasangan tersebut dan sedia berpisah sehingga menyerahkan dokumen lengkap untuk urusan pernikahan.

Rasa simpati orang ramai mula bertukar marah kerana soal hukum bersekedudukan dipandang remeh.

Semalam, pasangan tersebut gagal dijejaki dan disangka menghilangkan diri apabila meninggalkan ibu menghidap angin ahmar keseorangan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Rupa-rupanya mereka keluar dan tidak menjawab panggilan telefon kerana mempunyai urusan melengkapkan dokumen pernikahan.

Merak Jalanan yakin rakyat Malaysia ingin membantu mereka menyelesaikan masalah bagi memastikan kebajikan anak itu terjamin.

Pemilik syarikat kereta terpakai yang menghadiahkan kereta itu pun mengakui tidak rasa ralat atau kesal kerana niat mahu membantu bayi tersebut.

Sekalipun melakukan kesalahan, lelaki berkenaan disifatkan sebagai bapa yang bertanggungjawab, malah tidak meminta-minta duit orang ramai.

Kisah tular itu mungkin menjadi asbab kepada pasangan tersebut untuk memperbetulkan segala kesilapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!