Kaji semula kenderaan layak terima subsidi diesel

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis lepas. Gambar kecil: Mohamad Najmi dan Suairdie
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis lepas. Gambar kecil: Mohamad Najmi dan Suairdie
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran mengkaji semula senarai kenderaan yang layak menerima subsidi diesel di bawah Program Subsidi Diesel Bersasar.

Pengusaha kebun sayur, Mohamad Najmi Ghazali, 37, berkata, trak pikap banyak digunakan oleh usahawan namun kenderaan tersebut tidak tersenarai sebagai penerima subsidi diesel mahupun program Fleet Card (SKDS) atau Insentif Bayaran Tunai (GeoAgro).

“Kebanyakan pengusaha kecil dan sederhana (SME) dalam sektor pertanian memilih trak pikap berbanding lori sebagai kenderaan pengangkutan harian dan rutin pekerjaan mereka,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar, sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula akta pengangkutan jalan berkaitan trak pikap khususnya untuk kegunaan bidang pertanian agromakanan.

“Majoriti golongan ini memilih trak pikap berdasarkan skala perniagaan besar dan faktor pelbagai guna terutamanya di kawasan pedalaman, tanah tinggi bercerun, kawasan rendah yang sering banjir serta kawasan tidak dapat diakses kenderaan berat.

“Kebanyakan digunakan dalam industri pertanian sebagai kenderaan mengangkut, memindah dalam kawasan ladang,” tambahnya.

Petani dari Sik ini berkata, kepentingan trak pikap dalam sektor agromakanan tidak dapat dinafikan malah menjadi pilihan pelbagai agensi kerajaan sebagai kenderaan rasmi untuk tujuan lawatan dan pemantauan.

“Kebanyakan golongan pengeluar makanan lebih selesa mendaftarkan trak pikap sebagai kenderaan persendirian berbanding kenderaan perdagangan atas faktor kos pemeriksaan tambahan yang perlu ditanggung mereka.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya syarikat pengeluar makanan dengan jualan hasil kasar RM300,001 ke atas setahun dan menggunakan trak pikap, anda tersasar daripada sebarang program penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, pengusaha Ady Cendol, Suairdie Johari, 44, berkata, pengagihan subsidi diesel kepada peniaga sama ada melalui tunai atau kad debit mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jelasnya, jika disalurkan secara tunai, kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk pembuatan kad debit.

“Tetapi jika secara tunai pula, kerajaan tidak dapat mengawal cara penggunaan bantuan tersebut sama ada peniaga gunakan untuk membeli diesel atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pengagihan subsidi ini adalah usaha kerajaan untuk membantu peniaga meringankan kos perniagaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!