[VIDEO] SPM Kedah catat keputusan terbaik dalam tempoh 13 tahun
SUNGAI PETANI - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Kedah tahun 2023 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh 13 tahun.
Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 0.21 peratus iaitu 4.77 berbanding 4.98 pada tahun 2022.
Menurutnya, peratus calon layak mendapat sijil juga menunjukkan peningkatan sebanyak 3.63 peratus iaitu 90.21 peratus kepada 93.84 peratus.
"Pencapaian SPM 2023 adalah yang terbaik dalam tempoh 13 tahun iaitu sejak tahun 2010, ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan dan mengangkat martabat pendidikan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2023 di sini, hari ini.
"Seramai 29,044 calon mendaftar SPM 2023, seramai 24,528 calon hadir dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran manakala 766 calon tidak hadir semua mata pelajaran.
"Seramai 14 calon mendapat pencapaian cemerlang dan 568 calon memperoleh gred semua A (A, A dan A-),"katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan sama, sebanyak 14 sekolah memperoleh peningkatan Gred Purata 0.8 dan ke atas (Lonjakan Saujana).
"Sebanyak 21 buah sekolah mencapai Gred Purata Sekolah di bawah 3.0 iaitu penambahan dua buah sekolah berbanding tahun lalu.
"Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) matematik menunjukkan peningkatan tertinggi antara semua mata pelajaran iaitu sebanyak 0.27 peratus daripada 5.86 kepada 5.59," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 71 sekolah melepasi pencapaian GPN 4.77 daripada 196 buah sekolah kategori A.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!