Padah jual produk kesihatan palsu guna nama doktor pakar mata
KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri antara tujuh individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan produk kesihatan palsu dengan menggunakan nama seorang doktor pakar mata berpangkat Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 38 tahun ditahan di Shah Alam pada 21 Mei dan 22 Mei lalu.
"Dua daripada yang ditahan adalah pengarah syarikat manakala dua lagi individu adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan yang disyaki terlibat dengan penjualan produk kesihatan palsu," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Menurutnya, turut dirampas 18 kotak produk rawatan mata, empat bungkusan produk rawatan pelbagai jenama, satu monitor, sebuah komputer riba dan satu telefon bimbit.
"Susulan daripada itu tiga lagi individu berusia 33 hingga 51 tahun telah ditahan iaitu seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam dalam serbuan sekitar Klang pada 24 Mei lalu.
"Turut dirampas enam kotak produk rawatan mata, satu kotak cermin mata, satu unit pencetak dan tiga unit telefon bimbit," katanya.
Ramli berkata, berdasarkan laporan yang diterima, sindiket itu didakwa telah menggunakan gambar dan video pengadu yang juga merupakan seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosikan produk kesihatan sindiket tersebut.
"Pasangan itu disyaki menyunting gambar dan imej tanpa kebenaran doktor pakar berkenaan untuk diletakkan pada iklan produk tiruan terbabit.
"Pengadu seterusnya telah melihat iklan yang dimaksudkan dan mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya," ujarnya.
Beliau berkata, adalah dipercayai, penggunaan tanpa kebenaran gambar dan video pengadu sebagai bahan promosi produk terbabit adalah bagi tujuan memperdayakan orang ramai.
"Empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua individu warga asing dan seorang warga tempatan direman bagi membantu siasatan Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam pembelian produk kesihatan secara dalam talian.
"Melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana sindiket penipuan semakin berani menggunakan gambar serta video individu terkenal bagi memberi gambaran bahawa produk tersebut mempunyai kaitan dengannya.
"Lebih malang, produk yang dipasarkan adalah palsu dan penggunaan produk tersebut dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang promosi yang diiklankan di media sosial.
"Orang ramai boleh melakukan semakan dengan agensi atau jabatan kerajaan berkaitan khususnya apabila melibatkan produk kesihatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!