Kod QR BSI, KSAB fasa pertama bermula 1 Jun

Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan di Bangunan Sultan Iskandar bermula 1 Jun ini. - Foto: Bernama, gambar kecil: Fadillah
Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan di Bangunan Sultan Iskandar bermula 1 Jun ini. - Foto: Bernama, gambar kecil: Fadillah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan membabitkan dua pintu sempadan Malaysia dan Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri akan dilaksanakan bermula 1 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan kod QR berbanding pasport ini akan dikuatkuasakan bagi fasa pertama percubaan selama tiga bulan.

Menurutnya, bagi pelaksanaan kod QR 1 Jun ini, pengguna boleh menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera atau memuat naik aplikasi MyTrip dan MyDigital ID.

"Pelaksanaan kod QR ini akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas di BSI daripada 120 minit kepada 15 minit manakala tempoh menunggu bas KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit.

"Bagi tempoh percubaan selama tiga bulan ini, kaedah kod QR ini akan dibuka kepada pengguna bas di BSI manakala penunggang motosikal laluan M-Bike di KSAB," katanya di BSI pada Isnin.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di BSI yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, penggunaan kod QR di BSI dan KSAB itu antara pendekatan dalam menangani kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura.

Namun, ujarnya penggunaan kaedah sedia ada masih diteruskan terutama kepada pengembara dari Singapura.

Artikel Berkaitan:

"Fasa kedua nanti akan membabitkan kenderaan persendirian dan dibuka kepada warga Singapura, fasa seterusnya akan dibuka kepada warga negara lain.

"Kod QR di BSI dan KSAB itu akan menjadi 'game changer' dalam menangani kesesakan di dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, mesyuarat pada Isnin bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi melancarkan pergerakan bas di BSI dan KSAB agar tempoh menunggu dapat disingkatkan.

"Ia amat penting kerana jika pelepasan Imigresen selesai dalam jangka masa cepat, namun pergerakan bas yang tidak lancar menyebabkan kesesakan terus berlaku di dua pintu keluar masuk berkenaan," katanya.

Berdasarkan statistik pada 2023, seramai 116 juta pengembara direkod melalui kompleks CIQ di BSI dan KSAB manakala sejak Januari tahun ini sehingga 15 Mei, seramai 53.8 juta pengembara direkodkan.

Purata pengembara dalam masa sehari adalah kira-kira 398,000 orang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!