Taufan: Dua terkorban, ratusan ribu penduduk dipindahkan
DHAKA - Pihak berkuasa di Bangladesh telah memindahkan ratusan ribu penduduk ke tempat selamat apabila siklon tropika di Teluk Bengal melanda pantai selatan negara itu, kata pegawai pada Ahad.
Dua kematian dilaporkan, kata Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri, Muhibur Rahman lewat Ahad.
Seorang mangsa dihanyutkan oleh ombak badai di daerah Patuakhali, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika berlari mencari perlindungan semasa ribut di daerah Satkhira.
Ribut itu mula melintasi pantai di daerah selatan Khepupara di Bangladesh dan di sebahagian negeri Bengal Barat di India sekitar 8 malam (1400 GMT), kata agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan ahli meteorologi Shamim Ahsan dalam taklimat berita di Dhaka.
Siklon yang dinamakan Remal itu melanda pantai dengan kelajuan angin sehingga 120 kilometer sejam, sambil menambah ia mungkin mengambil masa dua jam untuk pusat taufan melintasi garis pantai.
Sebelum ini, kerajaan telah memindahkan lebih 800,000 penduduk pantai ke tempat perlindungan siklon, kata seorang menteri muda Bangladesh, ketika Remal, yang dikategorikan oleh ahli meteorologi sebagai Ribut Siklon Teruk, sedang menuju ke pantai.
"Orang lain di kawasan pantai juga diminta berpindah ke tempat selamat,” kata Muhibur Rahman selepas mesyuarat mengenai persiapan taufan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bangladesh telah menggantung penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di bandar pelabuhan selatan Chattogram.
Jika cuaca mengizinkan, lapangan terbang itu mungkin akan menyambung semula operasi pada pagi Isnin, kata Ibrahim Khalil, pegawai media pihak berkuasa penerbangan di Chattogram.
Pantai Bangladesh sering dilanda taufan tropika yang membawa maut yang terbentuk di Teluk Bengal.
Lebih 450,000 orang terbunuh dalam 12 taufan besar yang melanda pantai Bangladesh sejak 1965, menurut laporan Bangladesh 2016 mengenai kesiapsiagaan pengurusan bencana. - Bernama/Xinhua
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!