Penantian Marsha Milan berakhir
BUKAN baharu setahun dua anak kelahiran Tamparuli, Sabah ini meranduk arus deras dalam industri seni, sebaliknya sudah hampir dua dekad lama buat Marsha Milan memahat nama dalam industri.
Biarpun melalui pelbagai pahit maung, wanita berusia 38 tahun itu tidak pernah mengalah. Malah Marsha membuktikan, bakat antara faktor penting yang mendorong kejayaan setiap artis.
Meskipun karier nyanyiannya terpinggir buat seketika, wanita berketurunan Kadazan-Dusun berjaya mencuri perhatian ramai dengan vokal mantapnya pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi karya melankolik berjudul Cinta.Momen itu pada akhirnya membuka kembali mata ramai bahawa beliau bukan sekadar bergelar pelakon dan pengacara dalam industri seni, sebaliknya memegang 'jawatan' sebagai penyanyi dalam industri seni.
Kini, Marsha mampu menarik nafas lega apabila sering diberi kepercayaan sebagai penyanyi runut bunyi (OST), sehingga digelar Ratu OST.
"Ratu OST? Saya tak kisah kerana gelaran itu pada saya adalah maklum balas positif dan patut dihargai. Lagipun ia bukan penanda aras buat saya untuk digelar sebagai ratu apa.
"Saya lebih senang orang menilai karya-karya saya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik Hening Rindu serta Dulu Kini dan Akhirnya.
Disebabkan karier nyanyian yang semakin rancak, Marsha mengakui meletakkan fokus pada satu cabang, tetapi dalam masa sama, tidak membelakangkan karier lakonannya.
Malah bintang Laga itu mengakui, sudah rindu berada di set lakonan sementelah kali terakhir berbuat demikian tahun lalu.
"Buat masa sekarang, saya memang nak fokus menyanyi kerana ini apa yang saya mahu sejak 19 tahun lalu. Sejak awal saya cuba untuk orang sedar bahawa saya seorang penyanyi.
"Teringat bila berlakon, saya tidak dapat buat banyak persembahan. Keadaan itu juga mengingatkan saya dahulu ada satu tahap saya keluarkan duit sendiri untuk keluarkan single, walaupun ada orang kata saya syok sendiri.
"Cuma, saya tidak juga melupakan bidang lakonan. Kalau ada skrip yang bagus, saya sedia mempertimbangkan. Saya harus pilih betul-betul sebab saya juga seorang isteri," jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya keberaniannya melancarkan dua lagu iaitu Dulu Kini dan Akhirnya serta Hening Rindu dalam tempoh masa yang rapat, Marsha berkata, beliau tidak mempunyai pilihan kerana kedua-dua karya itu menjadi runut bunyi untuk dua drama berbeza.
Bagaimanapun, beliau bersama syarikat pengurusan dan komposer lagu itu mencari jalan sebaiknya untuk memastikan kedua-dua lagu berkenaan tampak berkait.
"Jadi kami buat keputusan untuk buat dua episod video muzik, nampak seolah-olah ia drama bersiri. Walaupun ada kebimbangan, saya percaya bila lagu itu menjadi runut bunyi, ia akan membantu promosi.
"Alhamdulillah saya dapat maklum balas positif dan ada juga yang sudah berharap kedua-dua lagu berkenaan ke pentas AJL," katanya yang kini menanti lagu daripada komposer dari Indonesia dan Korea.
Shanghai
Sementara itu, berkongsi perkembangan lainnya, Marsha berkata, beliau akan berada Shanghai, China selama lima hari pada hujung minggu ini bagi memenuhi undangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempromosikan Malaysia di negara itu.
Katanya, bersesuaian dengan Pesta Menuai pada 30 Mei depan, beliau akan mempersembahkan lagu Sumandak Sabah dan sekaligus memperkenalkan budaya etnik Sabah.
"Sebenarnya saya dirisik oleh pihak kementerian untuk bersama-sama ke Shanghai bagi mempromosikan budaya Malaysia.
"Saya diberi peluang untuk membuat persembahan memandangkan bulan ini adalah Pesta Menuai di Sabah. Ini juga kunjungan pertama kali saya ke China," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!