YUEM, InsPeK bangunkan usahawan mikro

seorang OKU fizikal dan pendengaran, Roslina Mat Yusof, 47, tidak pernah membayangkan menjadi seorang usahawan maruku sehingga berjaya menembusi pasaran eksport ke luar negara hasil bantuan daripada Yayasan UEM
seorang OKU fizikal dan pendengaran, Roslina Mat Yusof, 47, tidak pernah membayangkan menjadi seorang usahawan maruku sehingga berjaya menembusi pasaran eksport ke luar negara hasil bantuan daripada Yayasan UEM
A
A
A

KOTA BHARU - Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi dana sumbangan daripada Yayasan UEM (YUEM) berjaya membina kapasiti golongan B40 termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelantan melalui bidang keusahawanan.

Berhasil meningkatkan pendapatan golongan itu, usaha InsPeK dan YUEM melaksanakan Program Pembangunan Usahawan (EDP) kepada golongan itu turut menumpukan penggunaan aplikasi digital yang mampu menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam bidang berkenaan.

Menurut Penyelidik Bersekutu Kanan InsPek, Dr Tengku Fauzan Tengku Anuar, inisiatif EDP di bawah YUEM-InsPeK itu telah dimulakan sejak tahun 2020 yang mana ia menumpukan kepada tiga objektif, pertamanya memindahkan ilmu keusahawanan selain menggalakkan golongan itu mengasimilasikan teknologi terkini.

"Keduanya ialah meningkatkan pendapatan peserta manakala tumpuan ketiga ialah penilaian impak program,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini baru-baru ini.

DR TENGKU FAUZAN
DR TENGKU FAUZAN

Tambah Tengku Fauzan, sehingga kini, YUEM dan InsPek telah berjaya melatih 59 usahawan mikro di bawah EDP dan 29 daripadanya merupakan golongan OKU di Kelantan yang berdaftar dengan Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selain daripada industri makanan, YUEM dan InsPek turut membantu para peserta EDP termasuk OKU memula serta mengembangkan perniagaan mereka dalam industri-industri lain seperti perkhidmatan pembaikan kenderaan dan sebagainya.

“YUEM menyalurkan dana dan InsPeK menumpukan kepada aktiviti pemindahan ilmu berkaitan keusahawanan kepada para peserta,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Urusan UEM Group Berhad merangkap Ahli Lembaga Pengarah YUEM, Datuk Mohd Izani Ghani menyatakan, lebih dua pertiga peserta EDP berjaya meningkatkan pendapatan mereka sekurang-kurangnya 50 peratus sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masing-masing.

"Setiap individu mempunyai kisah unik, impian yang menunggu untuk direalisasikan. Matlamat kami di YUEM adalah untuk menyalakan harapan dan merealisasikan impian.

“Program EDP direka dan dilaksanakan YUEM dan InsPek untuk memastikan setiap usahawan bukan sahaja berjaya dalam perniagaan tetapi juga berkembang dalam kehidupan, membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kesusahan yang mereka lalui," katanya.

MOHD IZANI
MOHD IZANI

Pada masa sama, Izani turut menyatakan YUEM telah memperluaskan pelaksanaan EDP pada tahun ini dengan menambah lagi bilangan peserta kepada 29 orang berikutan hasil kejayaan kumpulan terdahulu program itu.

Dulu mekanik, kini pemilik bengkel

Keberhasilan usaha YUEM dan InsPek membangunkan golongan OKU diakui Wan Saidi Wan Salleh, 52, apabila dia berjaya mengusahakan bengkel membaiki kenderaan miliknya sendiri.

Wan Saidi (tengah) sedang melayani seorang pelanggan di bengkel miliknya di Kubang Kerian, Kelantan.
Wan Saidi (tengah) sedang melayani seorang pelanggan di bengkel miliknya di Kubang Kerian, Kelantan.

Wan Saidi yang juga OKU fizikal dan pertuturan itu memberitahu, ketika ini dia mampu menggajikan empat orang pekerja bagi membantu kerja-kerja di bengkelnya yang menerima sehingga lebih 50 buah kenderaan sebulan untuk dibaiki.

“Sebelum ini saya hanya mengambil upah membaiki kenderaan. Saya belajar (membaiki kenderaan) daripada sepupu saya sejak berusia 15 tahun lagi.

“Alhamdulillah, dengan bantuan YUEM serta InsPeK perniagaan saya semakin berkembang. Bantuan modal YUEM membantu saya memperoleh peralatan lengkap seperti set troli SATA yang harganya agak mahal manakala kursus yang dihadiri pula banyak memberi idea bagaimana mempromosikan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di bengkelnya yang terletak di Kampung Senang, Kubang Kerian, di sini.

Wan Saidi memberitahu, meskipun dia mempunyai masalah pertuturan, ia bukanlah halangan besar.

“Selain menggunakan kaedah menulis percakapan, saya dibantu oleh pekerja untuk memahami kehendak pelanggan. Alhamdulillah, hari ini saya mampu menjana pendapatan lima angka,” jelas Wan Saidi yang mempunyai lima orang anak selain berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya pada masa depan.

Maruku Pasir Mas ke Mesir

Sementara itu, seorang OKU fizikal dan pendengaran, Roslina Mat Yusof, 47, tidak pernah membayangkan menjadi seorang usahawan maruku sehingga berjaya menembusi pasaran eksport ke luar negara.

Bermula dengan menjual secara kecil-kecilan untuk meringankan beban suami, Rosmadi Hassan, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah, Roslina kini mampu menghasilkan pelbagai jenis dan perisa maruku.

“Lima tahun lalu saya hanya mampu membuat maruku sekitar dua kilogram sahaja secara manual, semuanya dilakukan dengan tangan daripada proses mengacau, acuan sehinggalah ke peringkat menggoreng.

"Dengan keadaan fizikal saya yang serba kekurangan, sukar untuk mengambil tempahan yang banyak dalam satu masa. Alhamdulillah, dengan bantuan YUEM, saya mampu memiliki mesin membuat maruku lebih cepat dan mudah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Banggol Petai, Pasir Mas.

Roslina yang juga ibu kepada dua anak itu menambah, maruku hasil keluarannya ketika ini bukan hanya dijual di pasaran tempatan sahaja tetapi turut di hantar ke pasaran di Mesir.

"Sekarang ini saya dan suami tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil menoreh getah kerana permintaan terhadap maruku sentiasa ada.

"Selain bantuan mesin, saya juga diajar bagaimana untuk memasarkan maruku melalui media sosial dan jualan secara dalam talian," ujarnya yang berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya pada masa depan.

No Image Caption

Program EDP YUEM-InsPek merupakan antara petunjuk keberhasilan yang boleh dicapai menerusi usaha saling menyokong dalam membuka sesebuah perjalanan hidup.

Lebih daripada sekadar inisiatif perniagaan, program EDP YUEM-InsPek menyentuh inti pati hubungan manusia dan ketahanan sekali gus membina harapan baharu dalan kalangan komuniti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!