Penduduk tertekan berdepan masalah kekurangan air

Penduduk mengambil air yang dibawa rakan sekampung selepas diupah mereka. Gambar kecil: Rosrasyida
Penduduk mengambil air yang dibawa rakan sekampung selepas diupah mereka. Gambar kecil: Rosrasyida
A
A
A

TANAH MERAH - Lebih 200 penduduk membabitkan 40 keluarga di Kampung Gual Jedok dan Kampung Gual Kubur dekat sini tertekan setelah berdepan masalah kekurangan air sehingga terpaksa mencari sumber air di madrasah dan masjid.

Mereka mendakwa masalah itu mula serius sejak tiga bulan lalu apabila madrasah berhampiran dua kampung berkenaan mula kekeringan air dan tidak dapat menampung keperluan penduduk.

Seorang suri rumah dari Kampung Gual Kubur, Rosrasyida Mamat, 36, berkata, sebelum ini penduduk mengangkut air dari sebuah madrasah di kampung itu yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.

"Bagaimanapun sumber air di madrasah itu sudah kering dan kami terpaksa mencari sumber di lokasi lain," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Rosrasyida yang tinggal bersama suami dan tiga anak kecil berusia antara tiga hingga 11 tahun terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk melancarkan urusan harian.

"Semua rutin harian berubah selepas terputus bekalan air di rumah. Saya tidak boleh memasak dan terpaksa membeli air di kedai selain membasuh pakaian di kedai dobi layan diri," katanya.

Menurut Rosrasyida, bagi membolehkan ahli keluarga lain menggunakan air untuk solat dan minum, dia terpaksa mengangkut air dari masjid kira-kira dua kilometer (km) dari rumah.

Justeru, untuk mendapatkan bekalan air dalam jangka pendek, suri rumah itu berharap ada pihak yang menghantar bekalan air dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah tidak mampu lagi untuk mengeluarkan kos membasuh pakaian dan membeli makanan di luar kerana suami hanya bekerja kampung," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Shahar Alam Mohamad, 66, pula terpaksa mengupah penduduk mengangkut air kerana tidak mampu mengerah keringat mendapatkan bekalan itu.

Keadaan lebih menyukarkan apabila isterinya, Mek Yah Abdul Hamid, 56, diserang angin ahmar yang memerlukan lebih banyak penggunaan air setiap hari.

"Saya mengupah penduduk sebanyak RM30 untuk menghantar satu tong pagi dan petang bagi memudahkan rutin harian," katanya.

Jelasnya lagi, bekalan air itu sebenarnya tidak mencukupi jika anak dan cucu pulang menjenguk mereka.

Bagi peniaga, Noorhayati Mohd Noor, 41, pula terpaksa berjimat menggunakan air hujan yang ditadah di dalam tong besar di tepi kedainya untuk keperluan perniagaan.

Noorhayati menunjukkan tong kosong yang disediakam untuk mengisi air
Noorhayati menunjukkan tong kosong yang disediakam untuk mengisi air

Katanya, hujan selama tiga hari minggu lalu memberi peluang dia menggunakan air untuk mencuci kedai dan dan keperluan lain.

"Kini saya juga mengambil sendiri bekalan air namun berharap semua ini dapat diatasi dalam masa terdekat," katanya.

Zainum Awang, 46, dari Kampung Gual Jedok, merayu kerajaan negeri agar dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Katanya, penduduk mencadangkan supaya kerajaan membantu membina telaga tiub untuk digunakan secara berkelompok oleh penduduk di kawasan itu.

"Ada penduduk yang sudah berbincang di antara mereka dan sedia menyediakan kawasan bagi pembinaan telaga tiub.

"Kampung ini ramai warga emas yang sudah tidak mampu lagi memikirkan kaedah mendapatkan sumber air tetapi sangat memerlukan kemudahan berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!