Kerajaan perlu semak semula lanjutan konsesi tol 20 tahun
SHAH ALAM - Pas meminta kerajaan Persekutuan menyemak semula tempoh lanjutan 20 tahun konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sehingga tahun 2058.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun pengurangan kadar tol 18 peratus tanpa bayaran pampasan akan dilakukan bermula 1 Februari ini, namun lanjutan 20 tahun sangat tidak munasabah.
“Keadaan tersebut menunjukkan bahawa Pakatan Harapan gagal menghapuskan tol secara berperingkat sebaliknya mengambil tindakan populis melanjutkan tempoh konsesi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, PLUS ialah aset strategik Khazanah Nasional dan ia harus memikirkan mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat.
“Pas percaya, tindakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional mempertahan PLUS daripada dijual kepada sektor swasta yang lain sebenarnya mempunyai tawaran yang lebih baik.
"Sekiranya dihitung secara logik, rakyat akan terus terbeban dengan kaedah lanjutan tambahan konsesi 20 tahun dan ia tidak selari dengan hasrat awal pengambilalihan PLUS pada tahun 2011 dahulu," katanya.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan mengambil alih PLUS daripada pihak swasta menerusi UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2011 untuk menstruktur semula perjanjian konsesi berat sebelah yang telah dimeterai sejak tahun 1990-an.
“Sekurang-kurangnya kadar tol PLUS tidak dinaikkan sepanjang 10 tahun lalu dan pampasan kerajaan RM6.5 bilion tidak perlu dibayar lagi.
"Justeru, lebih baik Khazanah Nasional dan KWSP komited ke arah hasrat awal pengambilalihan tol dan tidak melanjutkan konsesi selama 20 tahun lagi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Harga tol turun 18 peratus, kerajaan tak jadi jual PLUS: Tun M
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!