Mahkamah benarkan permohonan Fahmi batal tuntutan balas Ahmad Dusuki

Fahmi (kiri), Ahmad Dusuki
Fahmi (kiri), Ahmad Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan permohonan Fahmi Fadzil untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Menteri Komunikasi itu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain yang membuat keputusan itu memerintahkan Ahmad Dusuki membayar kos RM5,000 kepada anak guamnya.

"Mahkamah membenarkan permohonan Fahmi antaranya atas alasan tuntutan balas Ahmad Dusuki tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah. Sehubungan itu, keseluruhan tuntutan balas yang dikemukakan Ahmad Dusuki terhadap Fahmi dibatalkan.

"Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman Fahmi terhadap Ahmad Dusuki bermula 6 hingga 8 April 2026,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Prosiding itu turut dihadiri seorang lagi peguam Fahmi iaitu Ananciata Diego serta peguam, Mohd Jamil Yaacob dan Nur Adeeba Ainaa, yang mewakili Ahmad Dusuki.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan saman terhadap Ahmad Dusuki pada 5 September tahun lepas yang mendakwa penceramah berkenaan telah menyiarkan kata-kata fitnah mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023.

Fahmi berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik sepertimana yang didakwa oleh Ahmad Dusuki.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu dibuat bagi memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Ahmad Dusuki kemudian memfailkan tuntuan balas terhadap Fahmi pada 19 Oktober 2023 yang antara lain mendakwa plaintif telah memfitnah beliau dan membuat kenyataan palsu yang tidak pernah diucapkan olehnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!