Mayat warga emas ditemui dengan kesan gigitan binatang buas

Mayat warga emas dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari lalu ditemui dengan kesan gigitan binatang buas di ladang kelapa sawit pada Ahad.
Mayat warga emas dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari lalu ditemui dengan kesan gigitan binatang buas di ladang kelapa sawit pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Satu mayat warga emas dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari lalu ditemui dengan kesan gigitan binatang buas di ladang kelapa sawit di Pasir Layang, Kampung Bunut Saih, Kuala Krai, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihak polis menerima maklumat berkenaan penemuan mayat lelaki berusia 70 tahun itu pada jam 7.30 malam.

“Hasil siasatan awal pihak polis dapati mayat berkeadaan tidak berpakaian.

“Terdapat kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mayat dipercayai gigitan binatang buas,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati mangsa ialah orang hilang sepertimana siasatan yang dibuka bermula pada Rabu lalu.

“Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sehari sebelumnya iaitu pada Selasa lalu, jam 1.40 petang bertujuan ke kebunnya yang terletak di Kampung Bunut Saih.

“Mayatnya bagaimanapun dijumpai pada 6.15 petang, semalam,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan keterangan waris mangsa, lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis, jantung dan alzheimer.

Artikel Berkaitan:

“Mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat namun pakar perubatan forensik mengesahkan punca kematian tidak dapat dikenal pasti memandangkan keadaan mayat yang reput.

“Kematian terbabit bagaimanapun tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!