Nama dikemuka sebagai calon Speaker Dewan Negara ramai - PM
KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah individu yang dinamakan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mutang Tagal pada 10 Mei lepas adalah ramai.
Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini, senarai nama itu belum dibincangkan.
"... baru kita kemukakan nama untuk perbincangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Pada pertemuan itu, Abang Johari serta pemimpin kanan negeri turut membincangkan keputusan dasar agar ia dapat dilaksana dengan lebih berkesan serta memastikan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Terdahulu, Anwar merasmikan kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 bertema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara iaitu Kemboja, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Brunei, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Kuwait serta Perancis.
Hawana 2024 adalah perhimpunan terbesar wartawan Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah agensi pelaksana. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!