Grid bekalan elektrik Sabah berdepan kekurangan rizab penjanaan - SESB
KOTA KINABALU - Grid bekalan elektrik Sabah berdepan kekurangan rizab penjanaan berikutan penyelenggaraan sedang dilakukan di Stesen Janakuasa Rugading di sini, bermula Sabtu (25 Mei) hingga 2 Jun ini.
Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Adrian Mosigil dalam kenyataan berkata, berikutan itu, stesen tersebut tidak dapat menyuntik bekalan antara 65 MW hingga 95 MW ke dalam grid.
Beliau berkata, SESB akan memastikan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah dan Labuan kekal stabil, berikutan penutupan stesen janakuasa bebas itu.
"SESB sedaya upaya memastikan tiada catuan bekalan akan berlaku, namun sekiranya catuan bekalan perlu dilaksanakan, beberapa daerah (dicatu) bergilir-gilir pada kadar yang minima, bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik negeri ini dan mengelakkan keseluruhan Sabah dan Labuan mengalami ganguan,” katanya.
Adrian berkata, secara purata, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah dan Labuan sekitar 970 MW hingga 1,160 MW. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!