SPM 2023: SAS lakar sejarah, SBP terbaik bagi sekolah lelaki

Reezal Merican (kiri) dan hantaran Reezal Merican di Facebook beliau pada Isnin.
Reezal Merican (kiri) dan hantaran Reezal Merican di Facebook beliau pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) berjaya melakar sejarah apabila menjadi Sekolah Berasrama Penuh (SPB) terbaik bagi sekolah lelaki dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merupakan pencapaian terbaik yang pernah direkodkan dengan 14 pelajar memperoleh 9A+ manakala 81 calon lagi meraih 9A.

“Dalam tempoh lapan tahun memegang jawatan ini, kali pertama saya tidak dapat bersama dengan anak-anak SAS yang dikenali sebagai Warriors1923 untuk mengambil keputusan SPM pada hari ini disebabkan tugasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Kejayaan seperti ini tidak datang bergolek dan beri kebanggaan luar biasa walaupun anak saya sudah dua tahun tinggalkan sekolah tetapi saya masih bertanggungjawab serta terhutang budi dengan sekolah tersebut.

“Saya bersyukur impian kami untuk buktikan kejayaan demi kejayaan berhasil juga. Barangkali tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa ia pencapaian terbaik sekolah lelaki dalam SPM sejak sekian lama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan, seramai 395,870 calon yang telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara menerima keputusan pencapaian mereka bermula jam 10 pagi Isnin.

Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam turut menzahirkan penghargaan kepada tenaga pengajar, kakitangan SAS, guru serta ibu bapa atas pengorbanan yang diberikan bagi mencipta kejayaan tersebut.

“Jasa dan pengorbanan guru dan kakitangan SAS berikan pastinya tidak ternilai malah tidak mampu dibayar oleh kami sebagai ibu bapa serta anak-anak.

Artikel Berkaitan:

“Syabas dan tahniah juga buat ibu bapa, ini hasil doa dan usaha yang tidak putus-putus memberikan motivasi kepada anak-anak agar mereka sentiasa ada daya juang dan ia membuktikan bahawa mereka mampu menjadi yang terbaik.

“Kepada anak-anak SAS, raikan hari ini dengan penuh kegembiraan dan rendah diri kerana ini hasil ikhtiar dan usaha kalian semua sebagai Warriors1923. Ucapkanlah rasa terima kasih kepada ibu bapa serta pendidik yang telah memberikan terbaik untuk kalian semua,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!