SQ321: Ahli keluarga masih dalam kesakitan, tidak dapat lelapkan mata

Penerbangan SQ321 mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba dan mengakibatkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Selasa lepas. Foto AFP
Penerbangan SQ321 mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba dan mengakibatkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Selasa lepas. Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - "Ahli keluarga saya masih dalam kesakitan, dan ada yang masih tidak dapat melelapkan mata di malam hari," kata seorang rakyat Malaysia, Eva Khoo.

Adik Eva dan ahli keluargaya merupakan penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba dan mengakibatkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini Selasa lepas.

Eva, 47, seorang pakar acara dari Pulau Pinang berkata, adiknya, Khoo Boo Leong, 38, dan keluarga isterinya sedang dalam lawatan berkumpulan selama 10 hari di Eropah dan memutuskan untuk melanjutkan perjalanan mereka ke London sebelum pulang ke Malaysia dengan SIA.

"Adik saya memberitahu saya, dia terpelanting dari tempat duduknya, dan kepalanya terhantuk pada kompartmen beg tangan sebelum jatuh ke lorong laluan semasa penerbangan itu mengalami gelora udara.

"Tetapi keadaannya tidak bertambah baik sejak dimasukkan ke hospital, dan dia menjalani ujian penglihatan hari ini selepas melihat warna berbeza, dengan warna gelap kelihatan lebih cerah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Samitivej Srinakarin di sini pada Isnin.

Eva berkata, adik iparnya, Saw Rong, 33, yang sedang hamil dua bulan tidak dapat tidur selama beberapa hari kerana kesakitan dan doktor menjelaskan bahawa dia mengalami kecederaan pada tulang belakang T5 yang menghubungkan banyak saraf dan mungkin menyebabkan lumpuh kekal jika tidak dirawat dengan betul.

"Jumaat lepas, dia (Saw Rong) akhirnya bersetuju untuk menjalani pembedahan tulang belakang selepas menolak untuk melindungi bayinya. Dia (Saw Rong) telah berjaya menjalani pembedahan tulang belakang tetapi kini masih dalam kesakitan kerana dia masih enggan mengambil ubat atau penahan sakit kerana tidak mahu membahayakan bayinya," katanya.

Walaupun pasangan itu kini boleh mengambil makanan lembut, Eva berkata, Boo Leong masih tidak boleh berjalan seperti biasa manakala Saw Rong masih perlu memakai alat sokongan dan mula berjalan dengan bantuan peralatan perubatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah berada di sini untuk membantu mereka sejak Rabu lepas dan seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan di Malaysia berdoa untuk pemulihan mereka yang cepat. Saya akan terus mengunjungi kuil dan tokong di sini untuk berdoa agar mereka pulih dan dibenarkan pulang segera," katanya.

Selain adik dan adik iparnya, Eva berkata, keluarga Saw Rong juga berada di dalam SQ321 termasuk bapa, Saw Kwang Chye; mak cik, Saw Ai Hwa; sepupu perempuan, Geh Yi Wei; sepupu lelaki, Geh Yi Shen dan rakan keluarga Ko It Tze.

Dia berkata, daripada semua mereka, hanya dua orang sepupu yang dibenarkan keluar minggu lepas manakala selebihnya masih menjalani pemulihan daripada kecederaan.

Mengenai bila kesemua mereka akan dibenarkan keluar, Eva berkata, dia tidak pasti berapa lama keluarganya akan berada di hospital Bangkok, tetapi dia merasa lega kerana boleh berada di sini untuk mereka.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, sehingga petang 26 Mei, 10 rakyat Malaysia daripada penerbangan SQ321 sedang dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan Hospital Samitivej Sukhumvit.

Beliau berkata, dua orang sudah dibenarkan keluar dan seorang kini berada di wad biasa di Hospital Samitivej Sukhumvit, manakala enam lagi rakyat Malaysia masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin.

"Pada masa ini, semua pesakit berada di luar bahaya, dalam keadaan stabil dan tiada lagi rakyat Malaysia di ICU dan mereka telah dipindahkan ke wad biasa. Kami akan terus memantau keadaan mereka dan menawarkan bantuan kami bila diperlukan," katanya, sambil menambah bahawa salah seorang kru kabin SIA yang juga rakyat Malaysia telah dibenarkan pulang ke Singapura untuk rawatan lanjut.

Penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan, dan pesawat Boeing 777-300ER itu dilencongkan an ke Bangkok, mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa.

Kejadian itu mengakibatkan satu kematian dan sejumlah penumpang cedera. Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata mangsa yang maut merupakan seorang lelaki British berusia 73 tahun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!