Jaga solat, jaga hubungan, beradab resipi raih 9A SPM

Muhammad Ameer bersama ibu bapanya menunjukkan keputusan cemerlang SPM diperolehnya, di sini, semalam.
Muhammad Ameer bersama ibu bapanya menunjukkan keputusan cemerlang SPM diperolehnya, di sini, semalam.
A
A
A

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Jaga solat, jaga hubungan dengan ibu, ayah serta guru selain adab sesama kawan adalah resipi kejayaan bagi Muhammad Ammar Che Noor Azam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1 yang berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Muhammad Ammar, 18, yang merupakan antara 31,600 jemaah haji untuk musim 1445H/2024 mendapat perkhabaran gembira itu selepas solat Subuh di Masjidil Haram semalam bersama adiknya, Muhammad Ameer, 17.

Muhammad Ammar yang menunaikan haji bersama ayahnya, Che Noor Azam Osman, 63, ibu Kamsiah Mohd Kontol, 51, dan adiknya, Muhammad Ameer, 17, menerima keputusan SPM selepas waktu Subuh di bilik penginapan, semalam.

“Masa pertama kali tengok keputusan memang rasa gembira sebab sebelum ini saya tidak pernah mendapat semua A dalam mata pelajaran yang saya ambil.

“Saya rasa ia satu kejayaan besar dan Alhamdulillah, ALLAH SWT terima doa saya setiap kali solat dan semasa di Raudah baru-baru ini,” katanya kepada petugas media di hotel penginapannya di sini dengan ditemani ayah, ibu dan adiknya.

Bagi dirinya, selain menjaga hubungan dengan ALLAH SWT dengan menjaga solat, hubungan dengan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan juga tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan reda serta doa mereka.

“Sebabnya kita tidak tahu, mungkin kita sakitkan hati mereka, lalu ALLAH SWT tarik nikmat daripada kita dan kita tidak mahu benda itu berlaku, kerana itu kita perlu jaga hubungan kita lebih-lebih lagi dengan ALLAH SWT,” katanya.

Selain itu anak sulung kepada tiga beradik ini turut mengamalkan solat tahajud serta jadual pembelajaran yang lebih fleksibel untuk mengelakkan tekanan serta keletihan semasa belajar dan selebihnya berdoa serta bertawakal selepas berusaha.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Ammar yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, di sebalik cerita kejayaan itu, dia juga pernah nakal dan ponteng sekolah semasa Tingkatan Empat, iaitu semasa pasca Covid-19 sehingga salah satu mata pelajarannya merosot menyebabkan dia tersentak dan berazam untuk berubah.

“Apabila saya tengok balik, saya rasa saya perlu ubah perkara itu dan saya pergi dekat kawan saya seorang pelajar Cina, yang merupakan seorang pelajar pintar.

"Dia tidak jemu nak mengajar saya dan motivasi saya ketika itu adalah hendak mencapai sama tahap kepandaiannya.

“Sampai satu tahap, saya cuma satu langkah saja belakang dia. Kalau dulu mungkin macam langit dengan bumi, tetapi sekarang jarak sebelah menyebelah sahaja.

"Itu menyebabkan saya berusaha dan terus berusaha sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang ini,” katanya yang turut bersyukur kerana dapat menunaikan haji dalam usia yang muda dengan keluarganya.

Muhammad Ammar yang juga bekas ketua pengawas sekolah berkenaan mendapat lima A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik,Fizik; tiga A (Biologi, Kimia, Matematik Tambahan) dan A- dalam pelajaran Bahasa Melayu.

Sementara adiknya, Muhammad Ameer pelajar Tingkatan Lima sekolah yang sama, terus berazam untuk menyaingi abangnya dan ia diambil sebagai satu cabaran untuk dia belajar lebih bersungguh-sungguh.

Tambahnya, dia tidak menghabiskan sekolah sebetul-betulnya kerana ketika wabak Covid-19 dia masuk ke sekolah tahfiz.

“Kini saya masuk semula ke sekolah harian pada pertengahan Tingkatan Empat yang saya anggap sangat mencabar kerana perlu mengejar mata pelajaran yang tertinggal,” katanya yang turut gembira dengan pencapaian abangnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!