Warga asing lari lintang-pukang, penempatan haram di Sentul diserbu
KUALA LUMPUR - Sekumpulan warga asing lari lintang-pukang dan cuba memanjat bumbung rumah selepas penempatan haram mereka diserbu pada awal pagi Selasa.
Penempatan warga asing yang dipercayai wujud hampir empat tahun lalu diserbu dalam satu operasi bersepadu pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama beberapa agensi penguat kuasa lain.
Operasi yang bermula jam 12.30 pagi dan berakhir sekitar jam 2 pagi berhampiran Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Sentul, dekat sini menyaksikan seramai 124 orang warga asing diperiksa.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua warga asing yang diperiksa adalah dari Myanmar, Indonesia serta India.
Beliau berkata, sebahagian yang diperiksa sudah berkeluarga dan mempunyai isteri di penempatan haram tersebut.
Menurut beliau, majoriti rakyat Myanmar yang diperiksa dipercayai berketurunan Rohingya.
"Seramai 95 warga Myanmar diperiksa, selain terdapat tiga warga Indonesia ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
"Seramai 21 warga India juga diperiksa dalam serbuan ini bersama beberapa individu warga asing lain yang masih belum dikenal pasti identiti masing-masing kerana baru diberkas," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JIM (Operasi), Jafri Embok Taha.
Seramai 229 anggota penguat kuasa daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) terlibat dalam serbuan itu.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, lima kedai runcit yang terdapat di dalam kawasan penempatan haram tersebut diperiksa.
Katanya, hasil pemeriksaan pihak serbuan menemukan barangan bersubsidi seperti minyak masak peket di dalam kedai runcit tersebut.
Ditanya mengenai status tanah di kawasan penempatan haram itu, beliau berkata, ia merupakan milik kerajaan dan sekitar 30 rumah telah dibina di situ.
Tambah beliau, kesemua warga asing yang berada di situ dipercayai menyewa daripada warga tempatan.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kadar sewa yang dikenakan adalah sekitar RM400.
"Rumah yang disewa dikongsi secara beramai-ramai dan ada rumah yang diduduki seumpama bangsal.
"JIM akan bekerjasama dengan pihak DBKL untuk mengenal pasti siapakah yang bertindak menyewa rumah di kawasan penempatan haram ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!