Dunia protes, kutuk, kecam serangan Israel ke atas Rafah
BEBERAPA negara dan pertubuhan global telah mengutuk serangan udara Israel ke atas tapak perkhemahan di bandar paling selatan Gaza, Rafah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Serangan berkenan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang maut dan yang lain cedera kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Di Tunisia, ratusan rakyat berhimpun di tengah bandaraya Tunis pada Isnin bagi mengutuk serangan Israel ke atas Rafah.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan pro-Palestin di luar kedutaan Perancis di ibu negara Tunisia itu.
“Protes hari ini berlaku sebagai sebahagian daripada mengutuk jenayah zionis dan Amerika Syarikat terhadap rakyat kita di Gaza, berikutan serangan di Rafah baru-baru ini, yang dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai.
"Ini adalah jenayah yang sangat serius, kami mengutuk perspektif barat dan sokongan barat,” kata salah seorang peserta protes, Mouhamed Yahya.
Mereka mahu badan dunia mengambil tindakan segera terhadap Israel termasuk mengenakan sekatan ekonomi.
Selain itu, mereka mendesak laluan penghantaran bantuan ke Gaza terus dibuka tanpa ada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, protes dan tunjuk perasaan turut berlangsung di tengah kota raya New York, Amerika Syarikat.
Walaupun hujan, ia tidak menghalang ratusan penunjuk perasaan yang berhimpun menyatakan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin.
Malah, mereka juga menyuarakan kemarahan kepada kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu susulan serangan udara di Rafah.
Mereka dengan tegas melaungkan 'penentangan adalah wajar apabila rakyat dijajah'
Manakala di Paris, ribuan penunjuk perasaan berkumpul pada petang Isnin untuk membantah serangan terkutuk tentera Israel di Gaza.
Protes tersebut memaksa pihak polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan berkumpul di kawasan St Augustin di daerah ke-8 ibu kota Perancis, tidak jauh dari kedutaan Israel.
Mereka kemudian berarak ke arah Dataran Opera, dan kemudian ke arah kejiranan Montmartre, di mana bantahan masih berterusan setakat 11 malam waktu tempatan.
Terdahulu pada Isnin, presiden Perancis Emmanuel Macron berkata beliau "berang" atas serangan udara Israel yang mencetuskan kebakaran sehingga membunuh 45 orang tidak berdosa di sebuah pusat pemindahan di rafah.
Perkara itu turut mencetuskan bantahan daripada pemimpin dan masyarakat global. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!