Anak pekebun sayur cemerlang SPM, raih 10A+
CAMERON HIGHLANDS - Anak seorang pekebun sayur dekat sini muncul antara empat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Pahang selepas meraih 10A+ dalam peperiksaan tersebut.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja, M Shaminesh,18, meraih semua A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik, Biologi, Sejarah, Pendidikan Moral dan Prinsip Perakaunan.
Menurutnya, keputusan itu tidak dijangka memandangkan dia hanya memperoleh 4A+ dan 6A ketika peperiksaan percubaan.
"Masa tengok keputusan secara dalam talian, saya dan kedua ibu bapa menangis kegembiraan, masing-masing terkejut sebenarnya.
"Saya anggap kejayaan ini berkat sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu selama ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ditanya rahsia kejayaannya, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu dia sentiasa fokus di dalam kelas selain membuat ulang kaji bersama rakan-rakan.
Jelasnya, ibunya, A Raevathy, 51, yang juga guru di sekolah tersebut turut banyak membantu dalam pembelajaran selain sokongan bapanya, HT Murugaiah,57 yang tidak henti-henti memberikan galakan untuk berjaya.
Ditanya perancangannya selepas ini, dia yang juga aktif dalam aktiviti kokurikulum antaranya Presiden Kelab Bahasa Inggeris dan Setiausaha Kelab Catur di sekolah memasang impian untuk belajar di luar negara.
"Saya akan mencuba untuk memohon mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas ini," katanya yang berhasrat untuk menjadi seorang doktor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!