Wajib boikot jika mengancam umat Islam
KUALA TERENGGANU - Tindakan boikot wajib sekiranya mengancam selain membawa keburukan atau mafsadah kepada umat Islam.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, bagaimanapun tidak perlu melakukan tindakan boikot tersebut sekiranya ia tidak membawa keburukan kepada masyarakat Islam.
"Jika membawa kebaikan kepada Islam sendiri atau maslahah (kebaikan) kepada umat Islam maka tidak perlu boikot.
"Umat Islam rasanya boleh berfikir dengan waras yang mana satu syarikat membawa kebaikan dan kemudahan atau sebaliknya yang mengancam serta memudaratkan umat Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri turut menyatakan tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW.
"Asasnya begitu jika tidak ada sebab yang sesuai dan munasabah," jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan, teks rasmi khutbah yang dibacakan di masjid dan surau diri Jumaat di Perak menyeru umat Islam menghentikan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.
Khutbah itu antara lain menyatakan bahawa tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!