Pengarah urusan direman, gadai dan seleweng tanah Rizab Melayu

SPRM
SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah urusan sebuah syarikat hartanah direman empat hari bermula Selasa untuk siasatan disyaki memberi rasuah pegawai kerajaan berkait tanah Rizab Melayu di Perak seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan Rizab Melayu.

Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan Bumiputera di mukim Setiawan, Manjung, Perak.

Menurut sumber, penahanan lelaki berumur 44 tahun itu rentetan pertuduhan yang dibuat terhadap bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak di Mahkamah Sesyen Ipoh 30 April lalu.

"Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tanah itu diperoleh pengarah syarikat terbabit dengan bantuan disyaki bayaran rasuah kepada bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik itu.

"Tanah itu dipercayai diperoleh kira-kira 12 tahun lalu sebelum ia dipecahkan dan dijual kepada syarikat serta individu bukan bumiputera," katanya pada Selasa.

Tambah sumber, SPRM percaya syarikat suspek menerima keuntungan hasil penjualan tanah rizab Melayu itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara terbabit.

"Siasatan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima SPRM sebelum tindakan operasi bagi mendapatkan keterangan dan sebagainya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak itu, dia didakwa atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, didakwa menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak iaitu dengan memperdaya agensi berkenaan untuk mempercayai bahawa tanah nombor hak milik PN 174770-174772, nombor Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung, Perak adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi hak milik PN174772, Lot 17527 kepada 317 plot seluas kira-kira 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana agensi berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui perkara tersebut tidak benar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!