Pelaksanaan VAR, prestasi pengadil membanggakan - FAM

Pelaksanaan VAR dalam saingan Liga Malaysia berjalan lancar.
Pelaksanaan VAR dalam saingan Liga Malaysia berjalan lancar.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menilai pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas tiga perlawanan Liga Malaysia berjalan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, para pengadil yang ditugaskan telah mengikut protokol ditetapkan dengan sangat baik ketika teknologi itu diperkenalkan buat kali pertama dalam saingan liga.

Bagaimanapun, beliau menegaskan badan induk itu akan terus memantau prestasi pengadil selain mengambil langkah proaktif terutama perlawanan menggunakan VAR supaya kekal berada pada tahap optimum.

"Selepas berlangsungnya hari perlawanan satu, dua dan tiga, pelaksanaan teknologi VAR dalam saingan Liga Super ini dilihat berjalan dengan lancar yang mana para pengadil yang ditugaskan telah mengikut protokol yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM sangat mengambil berat tentang prestasi pengadil dan kepatuhan terhadap Protokol VAR FIFA dan Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.

"Untuk itu, setiap langkah dan keputusan yang dibuat adalah selaras dengan ketetapan yang disebut dalam Protokol VAR dan platform IAAP (Implementation Assistance and Approval Programme)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kesimpulan itu dicapai selepas Jawatankuasa Pengadil FAM bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Menurutnya, Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang telah menggunakan teknologi VAR di Liga Super.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan analisa tersebut sebanyak 11 ‘On Field Review’ (OFR) telah dilakukan dengan purata OFR 0.73 satu perlawanan.

"Angka ini menunjukkan keberadaan semasa pemahaman protokol VAR yang dimiliki oleh pengadil-pengadil di Liga Malaysia.

"Bola sepak moden lebih mirip kepada kelancaran perlawanan dan OFR yang melebihi purata tiga dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil. Inilah penanda aras yang sedang digunakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR," katanya.

Selain itu, Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM memaklumkan semakan Video OFR hanyalah dibuat bagi keputusan perlawanan yang melibatkan ruang untuk tafsiran.

"Ini bermaksud, bukan semua insiden yang mana pengadil wajib melakukan OFR atau semakan video di sisi padang permainan.

"Kebanyakan insiden adalah disemak oleh VAR dan insiden yang melibatkan fakta tidak memerlukan OFR atau semakan video kecuali dalam situasi-situasi tertentu sahaja ‘Sell the Decision’.

"Analisa perlawanan jelas menunjukkan bahawa prestasi pengadil setakat hari perlawanan tiga berada pada satu tahap yang cukup membanggakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!