JKM kesan waris enam kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Waris enam kanak-kanak termasuk empat beradik sedang dikesan bagi proses penjagaan dan pendaftaran sijil kelahiran mereka yang tergendala sehingga kini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, Noor Azura Ahmad berkata, waris pertama yang dicari adalah waris kepada empat beradik masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 10 bulan hingga 6 tahun.

Menurutnya, empat beradik itu diselamatkan JKM pada September lalu selepas dikesan ditinggalkan dan diabaikan di rumah mereka tanpa pengawasan orang dewasa.

"Keempat-empat beradik ini didapati ditinggalkan di rumah mereka tanpa pengawasan. Siasatan yang dijalankan mendapati, tiada pihak yang layak memberi penjagaan serta perlindungan terhadap empat beradik tersebut.

"Mereka juga didapati tiada sijil lahir. Oleh itu, JKM meminta ibu bapa kandung kanak-kanak ini tampil bagi urusan dokumentasi bagi membolehkan kita menguruskan pendaftaran lewat sijil kelahiran mereka.

"Mereka kini dilindungi JKM di bawah peruntukan Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, selain empat beradik itu, JKM juga sedang mengesan waris kepada seorang bayi perempuan warga Myanmar berusia sembilan bulan.

Menurutnya, bayi yang diberi nama Cho Cho Lwin (Erina) itu ditinggalkan penjaganya di Hospital Lam Wah Ee di sini pada 23 Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selain bayi tersebut, kita juga sedang mengesan waris kepada seorang bayi lelaki berusia sebulan yang ditinggalkan di sebuah bilik persalinan di Pasaraya Tesco, Tanjung Pinang.

"Dia ditinggalkan pada 6 Disember lalu dipercayai baharu dilahirkan berikutan terdapat kesan darah yang banyak dalam tandas pasaraya terbabit. Oleh itu, kita menggesa waris kepada kanak-kanak dan bayi ini atau mana-mana pihak yang mungkin mengenali mereka untuk tampil menyalurkan maklumat kepada JKM," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Timur Laut di talian 04-2264531 atau 04-2277413.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!